PGA rampas haiwan eksotik bernilai RM67,600

Batalion 9 PGA Kuala Terengganu merampas pelbagai jenis haiwan eksotik bernilai RM67,600 yang diseludup masuk secara tidak sah ke negara ini di pangkalan haram Bilal Dollah, Rantau Panjang pada Jumaat.
Batalion 9 PGA Kuala Terengganu merampas pelbagai jenis haiwan eksotik bernilai RM67,600 yang diseludup masuk secara tidak sah ke negara ini di pangkalan haram Bilal Dollah, Rantau Panjang pada Jumaat.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu merampas pelbagai jenis haiwan eksotik bernilai RM67,600 yang diseludup masuk secara tidak sah ke negara ini di pangkalan haram Bilal Dollah di sini pada Jumaat.

Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA Kuala Terengganu, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, rampasan itu melibatkan 206 ekor katak yang bernilai RM20,600, 50 labi-labi (RM15,000), 24 anak ular (RM12,000), tiga ekor burung kakak tua (RM15,000) dan seekor iguana RM5,000.

"Pada hari kejadian sekitar jam 7 malam pihak kami telah membuat intipan dan pemantauan di pangkalan tersebut.

"Hasil intipan, kami melihat sekumpulan lelaki sedang memunggah kotak-kotak dalam keadaan mencurigakan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Menurutnya, menyedari kehadiran PGA, kumpulan penyeludup tersebut bertindak melarikan diri ke negara jiran menggunakan perahu dan meninggalkan kotak tersebut di tebing Sungai Golok.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan PGA menjumpai beberapa kotak pelbagai saiz mengandungi pelbagai jenis haiwan peliharaan eksotik.

Nor Azizan berkata, barangan rampasan tersebut kemudian dibawa ke Kompeni Taktikal (Komtak) Taman Bakti di sini untuk pemeriksaan lanjut.

Katanya, laporan polis berkenaan rampasan haiwan eksotik tersebut telah dibuat di Balai Polis Rantau Panjang manakala semua rampasan akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan untuk siasatan serta tindakan selanjutnya.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

"Haiwan eksotik menjadi salah satu pilihan yang popular pencinta haiwan di negara ini sehubungan dengan itu penyeludup mengambil kesempatan melakukan kegiatan penyeludupan haiwan tersebut melalui lorong-lorong tikus bagi mengelak dari dikesan oleh pihak berkuasa," ujarnya.