China seru kerjasama ASEAN tangani cabaran keselamatan serantau

China menyeru negara-negara ASEAN mengamalkan multilateralisme, meningkatkan perpaduan dan kerjasama untuk mengekalkan keamanan serta kestabilan serantau, selain menangani bersama cabaran keselamatan di rantau ini. - Foto 123RF
China menyeru negara-negara ASEAN mengamalkan multilateralisme, meningkatkan perpaduan dan kerjasama untuk mengekalkan keamanan serta kestabilan serantau, selain menangani bersama cabaran keselamatan di rantau ini. - Foto 123RF
A
A
A

BEIJING - China menyeru negara-negara ASEAN mengamalkan multilateralisme, meningkatkan perpaduan dan kerjasama untuk mengekalkan keamanan serta kestabilan serantau, selain menangani bersama cabaran keselamatan di rantau ini.

Menteri Luar China, Wang Yi yang juga anggota Dewan Negara China menyeru meningkatkan penyelarasan dalam penyusunan sumber kesihatan dan sanitasi di rantau ini untuk bersama-sama menghadapi cabaran pandemik Covid-19.

“Setakat ini, China telah menyediakan 460 juta dos vaksin Covid-19 kepada negara-negara Asia, termasuk lebih 190 juta dos vaksin kepada negara-negara ASEAN,” katanya ketika menyertai Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Forum Serantau ASEAN ke-28 secara maya pada Jumaat.

Beliau juga menyeru pelbagai negara memperkasa kerjasama pelbagai hala untuk bersama menangani cabaran keselamatan bukan konvensional, dan isu-isu serantau termasuk masalah cuaca melampau, keganasan, jenayah rentas sempadan dan keselamatan siber.

‘Kedudukan penting ASEAN perlu dipelihara untuk menghadapi konfrontasi geopolitik. Pelbagai pihak juga diseru berwaspada dan mencegah suatu kuasa besar di luar rantau ini mempromosikan strategi serantau yang baharu.

Wang Yi juga menyarankan negara ASEAN berpegang kepada prinsip tidak mencampuri urusan dalaman negara lain dan bersama-sama menghadapi cabaran politik yang dibawa kuasa besar.

Negara ASEAN juga disarankan meneruskan rundingan damai bagi menyelesaikan isu hangat di rantau ini.

“China komited bekerjasama dengan negara ASEAN untuk membentuk dengan secepat mungkin Kod Tatalaku di Laut China Selatan (COC) yang berkesan, substantif dan selaras dengan undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen PBB Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada mesyuarat itu menteri-menteri luar ASEAN sepakat agar mengekalkan kedamaian dan kestabilan Laut China Selatan, meningkatkan perpaduan dan kerjasama, menumpukan kepada usaha melawan wabak dan memulihkan ekonomi serta bersama-sama menangani kesukaran dan cabaran pembangunan. - Bernama