Sokong keputusan parti bukan untuk kepentingan peribadi

Abd Rahim Muda
Abd Rahim Muda
A
A
A

KUANTAN - Pendirian UMNO Paya Besar menyokong keputusan parti untuk tidak mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan kerana kepentingan peribadi.

Keputusan itu dibuat selari dengan keputusan parti yang dicapai pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) lepas.

Timbalan Ketua UMNO Paya Besar, Datuk Abd Rahim Muda berkata, ahli akar umbi bahagian itu juga senada dengan keputusan yang dibuat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu lalu.

"Kami bersama Pengerusi UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut menyokong keputusan parti.

"Sebagai pimpinan UMNO bahagian ini bersama ahli akar umbi berpegang kepada saranan Wan Rosdy yang meminta seluruh kepimpinan serta ahli parti pelbagai peringkat supaya terus bersama menyokong keputusan tersebut," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Abd Rahim berkata, keputusan itu juga dibuat mengambil kira kepada kegagalan kerajaan PN menangani isu Covid-19 dalam tempoh Proklamasi Darurat hingga Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika ini.

"Walaupun kerajaan berusaha untuk memulihkan situasi pandemik Covid-19 di negara ini, namun bilangan kes terus menunjukkan peningkatan yang membimbangkan," katanya.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Rabu sebulat suara menarik sokongan kepada kerajaan PN dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebaliknya memilih berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah.

Artikel Berkaitan:

Keputusan diumumkan Ahmad Zahid itu selaras Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.