Halang tugas polis, dua lelaki ditahan

Keadaan di lokasi kejadian di hadapan sebuah rumah di Kampung Lee Kong Cheng.
Keadaan di lokasi kejadian di hadapan sebuah rumah di Kampung Lee Kong Cheng.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis terpaksa melepaskan tembakan dalam usaha menahan dua lelaki selepas mereka enggan memberhentikan kereta dan cuba melanggar anggota dalam insiden di Jalan Gombak, di sini, semalam.

Kejadian berlaku jam 5.15 petang ketika anggota Unit Kereta Peronda (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Wangsa Maju membuat rondaan Op Rentap Khas kawasan di lampu isyarat Jalan Gombak melihat sebuah kereta dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, anggota mengarahkan suspek berhenti namun mereka enggan sebaliknya terus menghimpit dan melanggar bahagian hadapan MPV.

Menurutnya, dalam usaha melepaskan diri, suspek melanggar penunggang motosikal dan lima kenderaan lain.

“Suspek berpatah balik melawan arus di Jalan Gombak dan terus masuk ke Kampung Lee Kong Cheng. Suspek membrek dan mengundurkan kenderaan sebelum melanggar bahagian hadapan MPV polis.

“Suspek juga cuba melanggar anggota polis yang turun untuk menahannya,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Mazlan berkata, anggota polis terpaksa melepaskan tembakan amaran ke udara dan ke arah tayar kenderaan suspek bagi memberhentikan kenderaan terbabit.

“Kedua-dua suspek, berusia 33 dan 37 tahun ditahan dan semakan mendapati mereka mempunyai rekod jenayah berhubung kes dadah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh dan menghalang tugas penjawat awam.