Noraini umum letak jawatan, patuh keputusan UMNO

Noraini
Noraini
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad menamatkan teki-teki sama ada beliau kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) atau sebaliknya setelah mengumumkan keputusan peletakan jawatan sebagai menteri, berkuatkuasa serta merta.

Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO berkata, berdasarkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 3 Ogos 2021, beliau sebagai salah seorang ketua sayap parti itu akur dengan keputusan parti.

"Terima kasih kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana telah memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat di dalam Kerajaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, keputusan parti akan dilaksanakan ketika Parlimen bersidang.

"Saya percaya, kita telah berusaha melakukan yang terbaik dalam menguruskan negara mendepani pandemik Covid-19," katanya.

Ahli Parlimen Parit Sulong itu berkata, usaha berkenaan akan diteruskannya meskipun beliau tidak lagi menjadi menteri.

"Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama warga KPT dan semua pemegang taruh berkaitan kementerian yang banyak membantu saya melaksanakan tugas.

"Semoga Allah SWT merahmati negara kita dan melindungi kita semua," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selasa lalu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebulat suara memutuskan menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Muhyiddin.

Pengumuman itu disusuli dengan tindakan Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah yang melepaskan jawatannya sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli.

Berikut merupakan kenyataan penuh beliau:


Pertamanya, saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri kerana telah memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat sebagai Menteri Pengajian Tinggi di dalam Kerajaan Persekutuan.

Namun, berdasarkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 3 Ogos 2021, saya sebagai Ketua Wanita UMNO, akur dengan keputusan parti dan meletak jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi, Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan berkuatkuasa serta-merta. Keputusan parti akan dilaksanakan ketika Parlimen bersidang.

Saya percaya, kita telah berusaha melakukan yang terbaik dalam menguruskan negara mendepani pandemik Covid-19 yang telah menjejaskan kehidupan manusia di seluruh dunia. Usaha ini akan saya teruskan walaupun tidak lagi menjadi Menteri Kabinet Persekutuan.

Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama warga Kementerian Pengajian Tinggi dan semua pemegang taruh berkaitan Kementerian yang banyak membantu saya melaksanakan tugas.

Semoga Allah merahmati negara kita dan melindungi kita semua. Sekian. Terima Kasih.

DATUK SERI DR. NORAINI AHMAD

6 Ogos 2021