Dua lagi hospital perlukan kontena mayat Covid-19

Dr Othman (empat dari kiri) ketika mengiringi Muhammad Sanusi melawat PPV Mega Amanjaya Sports Arena Sungai Petani pada Jumaat.
Dr Othman (empat dari kiri) ketika mengiringi Muhammad Sanusi melawat PPV Mega Amanjaya Sports Arena Sungai Petani pada Jumaat.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Dua buah lagi hospital di Kedah memerlukan kontena bagi menampung jumlah kematian pesakit Covid-19 yang semakin bertambah.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr Othman Warijo berkata, dua buah hospital terbabit ialah Hospital Baling dan Hospital Sultanah Maliha, Langkawi.

Menurutnya, setakat ini tiga hospital telah menerima kontena bagi penyimpanan mayat jenazah Covid-19 antaranya di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani dan Hospital Kulim.

"Kontena yang telah digunakan ialah satu di HSB yang boleh menampung 20 jenazah manakala yang baharu diterima dan sedang dalam proses ialah di Hospital Kulim dan HSAH menjadikan tiga buah kontena telah sampai setakat ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa mengiringi Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega Amanjaya Sports Arena, Sungai Petani pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Othman berkata, setakat ini ada beberapa pihak lain telah bersedia memberikan komitmen untuk menyumbang kontena terbabit.

"Persediaan kita adalah di Hospital Baling dan Hospital Sultanah Maliha yang kini hanya mempunyai beberapa peti mayat sahaja. Kita juga sedang berusaha untuk menambah keperluan di HSB yang mungkin akan memerlukan tambahan kontena sekiranya jumlah kematian meningkat," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Kedah mempunyai 96 katil Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi menempatkan pesakit Covid-19 di seluruh hospital awam di negeri tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Pada masa ini, kita sedang dalam perancangan meningkatkan lagi kapasiti dengan mengubah beberapa katil untuk dijadikan katil ICU di hospital tertentu seperti HSB, HSAH dan Hospital Kulim yang memang ramai pesakit Covid-19.

"Lebih 90 pesakit ditempatkan di ICU setiap hari kerana masalah yang kita hadapi ialah kebanyakan pesakit ini menerima rawatan dalam tempoh lama, secara purata kita katakan lebih kurang 21 hari sebelum mereka boleh dipindahkan ke wad biasa," katanya.

Othman pada masa sama turut menjelaskan bahawa Hospital Medan Kepala Batas bersedia untuk menerima pesakit Covid-19 kategori 4 dan 5 dari Kedah.

"Setakat ini belum ada yang hantar lagi sekiranya ada, kita akan berbincang dahulu dengan pihak berkenaan," katanya.