Empat ditahan curi bekalan elektrik lombong Bitcoin

Mesin melombong matawang bitcoin yang dirampas.
Mesin melombong matawang bitcoin yang dirampas.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Polis menahan empat lelaki yang dipercayai terlibat aktiviti perlombongan mata wang bitcoin dengan membuat sambungan elektrik secara haram dalam tujuh serbuan, pada Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra'ais berkata, serbuan bermula jam 5 pagi itu memeriksa enam buah rumah kedai di Seberang Perai Tengah dan sebuah lagi di Seberang Perai Selatan.

Menurutnya, semua suspek berusia antara 24 dan 53 tahun itu mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.

"Operasi yang turut disertai kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mendapati kabel elektrik di semua premis telah diubahsuai untuk mencuri bekalan elektrik.

"Disebabkan perbuatan khianat mereka ini menyebabkan TNB mengalami kerugian ratusan ribu ringgit," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Jumaat.

Tambah Rahimi, dalam pemeriksaan itu pihaknya merampas 378 mesin melombong mata wang Bitcoin, 21 unit modem dan lima buah CPU.

Turut dirampas sebuah komputer riba, pelbagai jenis kotak kabel serta kotak fius yang digunakan untuk mencuri bekalan elektrik.

Beliau berkata, kesemua barang yang dirampas dianggarkan bernilai RM250,000 dan petugas TNB membuat pemotongan bekalan elektrik di semua premis terlibat.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua suspek direman dan akan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas perbuatan khianat," katanya.