X

Kindly register in order to view this article
!

Vaksinasi banyak bantu kurangkan jangkitan Covid-19 di Pulau Pinang

Kon Yeow menunjukkan kad vaksinasi Covid-19 selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech di Pusat Pemberian Vaksin di Hospital Puau Pinang pada Februari lepas.- Gambar fail Bernama
A
A

GEORGE TOWN - Walaupun Covid-19 telah memasuki fasa penularan dalam komuniti di Pulau Pinang, vaksinasi telah banyak membantu mengurangkan kadar jangkitan virus itu, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

“Menerusi trend jangkitan kini, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) tidak menafikan bahawa vaksinasi banyak membantu mengurangkan kadar jangkitan.

"Justeru, saya telah memohon supaya ia (vaksinasi) disegerakan terutamanya mereka yang berkecimpung dalam sektor yang banyak mencetuskan kluster di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis, sambil berharap kementerian berkaitan dapat memastikan bekalan vaksin ke Pulau Pinang mencukupi.

Kon Yeow berkata, sehingga 11.59 malam Rabu, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) melaporkan seramai 60 peratus populasi dewasa di negeri ini telah menerima dos pertama manakala 24.7 peratus dos kedua.

Sementara itu, Kon Yeow mengingatkan setiap rakyat agar mematuhi Arahan Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah atau Home Surveillance Order (HSO) serta pemakaian gelang kepada mereka yang menjadi kontak kepada kes-kes positif.

Kon Yeow juga berkata, beberapa perancangan telah dipersetujui dilaksanakan untuk memastikan kemudahan perubatan di negeri ini tidak lumpuh dalam menangani peningkatan kes yang dijangka meningkat dalam tempoh dua minggu ini.

“Selain penyusunan semula pelan kemudahan kesihatan negeri, pendekatan yang diputuskan adalah termasuk mewujudkan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di lain-lain lokasi hasil usaha sama semua pihak termasuk pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!