60 peratus penduduk Sabah terima vaksin lengkap menjelang September

Jumlah vaksin yang diberikan kepada penduduk Sabah sudah melebihi 1.38 juta dos dengan 967,555 merupakan dos pertama dan selebihnya dos kedua. - Foto Bernama
Jumlah vaksin yang diberikan kepada penduduk Sabah sudah melebihi 1.38 juta dos dengan 967,555 merupakan dos pertama dan selebihnya dos kedua. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Sabah mampu mencapai 60 peratus penduduknya menerima dua dos lengkap vaksin Covid-19 menjelang 21 September depan, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun.

Katanya, ia berdasarkan kadar vaksinasi harian yang meningkat di Sabah dan pada Rabu sahaja sebanyak 46,840 dos vaksin diberikan menjadikan jumlah vaksin yang diberikan sudah melebihi 1.38 juta dos dengan 967,555 merupakan dos pertama dan selebihnya dos kedua.

Beliau berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mempunyai keupayaan untuk memberikan sehingga 60,000 vaksin setiap hari, namun ia bergantung kepada jumlah dos vaksin sedia ada dan kelancaran penghantaran bekalan vaksin ke Sabah.

"Atas andaian bekalan vaksin yang mencukupi terjamin, mengikut perancangan, JKNS boleh mengekalkan momentum melaksanakan pemberian vaksin dengan kadar yang cepat seperti sekarang, kita boleh mencapai sasaran tersebut (60 peratus)," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap Covid-19 Sabah berkata, peratusan kes bergejala atau 'sporadik' semakin meningkat dengan 24 peratus atau 251 kes daripada 1,062 kes positif hari ini dikesan daripada kategori itu berbanding 21.2 peratus atau 201 kes daripada 949 kes pada Rabu.

"Kontak rapat terus menjadi penyumbang utama kepada kes harian (Khamis) iaitu 569 kes atau hampir 54 peratus kes pada Khamis, dan 967 kes positif adalah daripada kategori 1 tiada simptom dan kategori 2 simptom ringan," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: