X

Kindly register in order to view this article
!

Mahasiswa prihatin nasib Palu

Dr Daing Nasir Ibrahim melancarkan Tabung Misi Kemanusiaan Palu bersempena Majlis Amanat Tahunan Naib Canselor 2019.
A
A

KUANTAN - Gerakan Pengguna Siswa (GPS) dengan kerjasama Persatuan Pelajar Kejuruteraan Kimia (CHEST) Universiti Malaysia Pahang (UMP) mengerakkan sukarelawan untuk misi kemanusiaan Palu yang dijadualkan pada 11 hingga 16 Mei depan.

Program tersebut dilancarkan bagi mengumpul sumbangan untuk diagih kepada penduduk Kota Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia yang terjejas gempa bumi 28 September tahun lalu.

Eksekutif Kanan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni yang juga penasihat program, Abdul Rahman Ahmad berkata, misi sempena Ramadan itu mendapat kerjasama Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) dan Rumah Zakat (pertubuhan bukan kerajaan dari Indonesia).

Menurutnya, dua badan itu berpengalaman dalam membantu mangsa bencana bersiri iaitu gempa bumi, tsunami dan lifukfasi tanah.

“Pihak kami menyasarkan untuk menyediakan penempatan dan sekolah sementara serta tandas untuk kemudahan penduduk terjejas.

“Misi ini agak mencabar kerana berlangsung pada bulan Ramadan namun ia juga satu peluang kepada sukarelawan UMP untuk merasai pengalaman berpuasa di Kota Palu,” katanya.

Abdul Rahman berkata, misi itu yang turut melibatkan sukarelawan daripada beberapa universiti lain.

Sementara itu, Exco Kesukarelawanan dan Khidmat Komuniti Majlis Perwakilan Pelajar UMP merangkap pengarah program, Ezwan Shah Nordin berkata, sehingga kini pihaknya berjaya mengumpul sumbangan mencecah RM20,000.

Menurutnya, sasaran kutipan RM100,000 bagi membina lebih banyak rumah sementara untuk membantu mangsa di sana supaya mereka dapat meraikan Aidilfitri dalam keadaan selesa dan meriah.

“Selain itu beberapa aktiviti juga akan diadakan seperti majlis berbuka puasa dan sahur perdana bersama masyarakat Palu, program khidmat komuniti dan motivasi akademik dengan kanak-kanak di sana yang ketinggalan dalam pelajaran,”katanya.

Pelancaran Tabung Misi Kemanusiaan Palu disempurnakan oleh Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Seri Dr Daing Nasir Ibrahim bersempena Majlis Amanat Tahunan Naib Canselor 2019.

Selain mendapatkan sumbangan dan tajaan syarikat korporat, pihaknya juga menganjurkan beberapa program termasuklah Palu Charity Run dan Festival Jualan Makanan yang mendapat sambutan ramai.