Ahmad Faizal tekad bantu PM demi kepentingan rakyat, negara

Ahmad Faizal - Foto Bernama
Ahmad Faizal - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bertekad untuk membantu melicinkan pentadbiran Perdana Menteri mengikut tanggungjawab dan arahan diberikan.

Beliau berkata, tanggungjawab sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri bertaraf menteri itu akan digalas dengan baik demi kepentingan rakyat dan negara.

"Saya akan berusaha gigih membantu Perdana Menteri mengikut tanggungjawab dan arahan beliau.

"Usaha yang paling utama dan penting kini adalah menyelesaikan krisis

kesihatan dan ekonomi yang menjejaskan rakyat pada segera serta efisyen," katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Ahli Parlimen Tambun itu turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin atas pelantikan berkenaan.

"Semoga ALLAH kurniakan rahmat dan perlindungan buat kesemua para

pemimpin serta rakyat Malaysia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan pada Khamis mengumumkan pelantikan Ahmad Faizal sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri bertaraf menteri.

Bekas Menteri Besar Perak itu bertanggungjawab menasihati Perdana Menteri dalam hal ehwal jalinan komuniti, komunikasi masyarakat dan pembangunan sosio-ekonomi.