PVATM tangguh acara ziarah makam pahlawan

Makam Allahyarham Trooper Rasli Buang (tengah) di Tanah Perkuburan Orang Islam Kampung Buntal, 30 kilometer dari Kuching. - Foto Bernama
Makam Allahyarham Trooper Rasli Buang (tengah) di Tanah Perkuburan Orang Islam Kampung Buntal, 30 kilometer dari Kuching. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Sarawak pada Khamis menangguhkan acara menziarah makam pahlawan dan bacaan tahlil untuk seorang perwira negara, Trooper Rasli Buang yang terkorban semasa menentang pengganas komunis 50 tahun lalu.

Ketua Cawangan PVATM Kuching, Kapten (B) Handeri Hashim berkata, acara yang dirancang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Buntal, kira-kira 30 kilometer dari sini terpaksa ditangguhkan atas nasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak ekoran pandemik Covid-19.

“Acara ini ditunda ke tarikh yang belum ditetapkan sementara menunggu kelulusan pihak JPBN dan PVATM Sarawak,” katanya kepada media di sini.

Allahyarham Rasli dianugerahkan pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa kerana keberanian bertempur dengan pengganas komunis pada 6 Julai 1971 di kawasan Tanah Rancangan Belia Perlop, Perak sehingga menyebabkan beliau terkorban akibat terkena tembakan.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua PVATM Sarawak yang juga Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Sarawak, Leftenan Kolonel (B) Monday Juhid memberitahu Bernama, penularan pandemik Covid-19 menyebabkan persatuan itu tidak dapat mengadakan upacara penghormatan sempena sambutan Hari Pahlawan yang diraikan pada 31 Julai.

“Bagaimanapun pada tahun ini upacara berkenaan sempat diadakan di Bau dan Kapit secara kecil-kecilan, manakala di tempat lain, kami tidak dapat kebenaran daripada pihak JPBN Sarawak,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: