Lebih 1,000 pesakit Covid-19 masuk hospital di Lembah Klang

Lebih 1,000 pesakit dimasukkan ke hospital di Lembah Klang akibat dijangkiti Covid-19. Gambar hiasan
Lebih 1,000 pesakit dimasukkan ke hospital di Lembah Klang akibat dijangkiti Covid-19. Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Lebih 1,000 pesakit dimasukkan ke hospital di Lembah Klang akibat dijangkiti Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bilangan kemasukan pesakit baharu ke hospital telah meningkat lebih 33 peratus berbanding tempoh dua minggu lepas.

Menurut beliau, bilangan pesakit yang meningkat selaras dengan peningkatan kes di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Terdapat 6,427 pesakit berada dalam rawatan di hospital dan 2,685 diletakkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Lembah Klang.

"Manakala 659 dirawat di unit rawatan rapi (ICU)," katanya pada Khamis.

Beliau berkata, bilangan pesakit yang menunggu bagi mendapatkan rawatan di luar Jabatan Kecemasan dan Trauma adalah tinggi.

"Beberapa langkah telah dilakukan di bawah seliaan Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley termasuk mewujudkan katil tambahan dan hospital medan di luar kawasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

"Katil-katil tambahan turut disediakan di Hospital Selayang dan Hospital Serdang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, PKRC Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) telah dipertingkatkan kapasiti bagi memberi rawatan kepada pesakit.

"Hospital yang telah berfungsi sebagai hospital Covid-19 sepenuhnya adalah Hospital Sungai Buloh, Hospital Selayang, Hospital Ampang, Hospital Serdang dan Hospital Pakar Kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)," katanya.

Katanya, sebanyak 2,884 katil tambahan telah dipertingkatkan dan jumlah keseluruhan tersebut akan meningkat melalui langkah yang sedang dilaksana.

"Kadar vaksinasi di Lembah Klang akan terus dipercepatkan bagi mengurangkan pesakit yang dijangkiti dengan gejala yang serius," katanya.