Penduduk bantah pusat kuarantin berhampiran taman perumahan

Ahmad Mustain (dua dari kiri) bersama penduduk meninjau kawasan premis yang dijadikan pusat kuarantin warga asing berhampiran Taman Muhibbah.
Ahmad Mustain (dua dari kiri) bersama penduduk meninjau kawasan premis yang dijadikan pusat kuarantin warga asing berhampiran Taman Muhibbah.
A
A
A

SABAK BERNAM - Penduduk dan peniaga di Taman Muhibbah di sini membantah kewujudan sebuah premis bangunan berhampiran taman perumahan itu yang dijadikan pusat kuarantin bagi menempatkan pesakit Covid-19 bukan warganegara.

Seorang penduduk, Syed Salim Syed Zainal Abidin, 63, berkata, penduduk bimbang kerana terdapat ramai warga emas berusia dan pesakit kronik yang berisiko tinggi menetap di taman perumahan itu.

Menurutnya, keadaan itu merisaukan penduduk berhubung kemungkinan peningkatan penularan Covid-19 di kawasan perumahan terbabit.

"Saya tentunya bimbang kerana rumah saya terletak kira-kira 200 meter sahaja dari premis yang dijadikan pusat kuarantin tersebut," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.

Syed Salim Syed Zainal Abidin
Syed Salim Syed Zainal Abidin

Syed Salim berkata, penduduk mendesak pihak berkuasa memindahkan segera semua warga asing yang dikuarantin akibat positif Covid-19 ke lokasi lebih jauh daripada penempatan penduduk.

Artikel Berkaitan:

"Kami tidak tahu apa tujuan pemindahan di kawasan berhampiran perumahan ini dan berharap perkara ini diselesaikan segera," ujarnya.

Seorang usahawan produk pil minda, Mohd Shaiful Haniff Hussin, 34, berkata, wujud kebimbangan pekerjanya berikutan operasi perniagaan syarikatnya terletak berhampiran premis kuarantin terbabit.

Jelas beliau, meskipun kelibat warga asing tidak kelihatan berkeliaran di sekitar bangunan premis perniagaan, namun dia tetap khuatir jangkitan merebak di kawasan tersebut.

Sharif Hasbullah
Sharif Hasbullah

"Seramai enam pekerja saya berisiko jika berlaku perebakan jangkitan di kawasan ini dan berharap ada tindakan dilakukan pihak berkuasa," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Taman Muhibbah, Sharif Hasbullah berkata, terdapat kira-kira 1,000 penduduk di taman perumahan itu berisiko sekiranya bangunan premis perniagaan berkenaan dijadikan pusat kuarantin warga asing.

Jelas beliau, penduduk meluahkan kebimbangan memandangkan lokasi itu adalah laluan utama penduduk ke pekan Sabak Bernam dan Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ).

"Selain itu, terdapat juga premis lain berhampiran tempat kuarantin seperti kedai dobi layan diri, kedai runcit dan beberapa kedai lain yang menjadi tumpuan orang ramai," katanya.

Sharif berkata, penduduk tidak mahu kawasan perumahan itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) disebabkan kewujudan pusat kuarantin tersebut.

"Pengurusan taman memandang serius perkara ini kerana tidak mahu perebakan jangkitan berlaku apatah lagi kes positif Covid-19 sangat minimum di taman ini," jelasnya.

Katanya, beliau sendiri sudah menyerahkan surat bantahan penduduk kepada Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh dan Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak, Ahmad Mustain Othman.

"Kita harap ada jalan penyelesaian tentang perkara ini kerana saya difahamkan ada puluhan individu di kuarantin di situ," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Mustain berkata, beliau memandang serius aduan penduduk dan menyerahkan kepada pihak berwajib untuk mengambil tindakan selanjutnya.

"Alhamdulillah saya difahamkan pihak berwajib akan menyelesaikan isu ini dengan segera," katanya.