Pas yakin PN masih relevan

Che Abdullah
Che Abdullah
A
A
A

KOTA BHARU - Pas Kelantan berpandangan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal relevan untuk rakyat di negara ini.

Setiausaha Pas Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, kerajaan sedia ada mengutamakan kebajikan rakyat melalui pelbagai pakej bantuan yang disalurkan terutama ketika tempoh pandemik Covid-19.

"Kita yakin rakyat di negara ini masih terus menyokong kerajaan yang dipimpin Muhyiddin Yassin dan menteri gabungan pelbagai parti,” katanya kepada pemberita di Pejabat Jabatan Pertanian Kelantan di Lundang, di sini, pada Rabu.

Che Abdullah berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung tindakan UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan PN.

Beliau sebelum itu merasmikan Pelancaran Program myGAP Tanaman Bukan Makanan secara maya yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Mohd Nasir Warris.

Menurutnya, ketika pimpinan Pakatan Harapan (PH) sering kali diperkatakan bahawa kerajaan tidak mempunyai wang malah banyak jalan persekutuan di Kelantan yang tidak dapat diselenggara dengan alasan itu.

“Selepas perubahan kerajaan yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerajaan terus memberi bantuan sehingga tidak kedengaran lagi ‘cakap-cakap’ kerajaan tiada duit dan sebagainya,” katanya.

Che Abdullah juga berkata, penarikan sokongan UMNO terhadap kerajaan PN tidak memberi kesan kepada kerajaan Kelantan kerana mempunyai majoriti yang cukup.

Artikel Berkaitan:

“Walau apa pun yang berlaku kerajaan Kelantan akan kekal, tiada masalah dan tidak tergugat,” katanya.