Kelly azam pamer aksi terbaik

Kelly tampil kali kedua di pentas Sukan Olimpik.
Kelly tampil kali kedua di pentas Sukan Olimpik.
A
A
A

PEMAIN golf wanita negara, Kelly Tan berazam untuk mempamerkan aksi terbaik serta menikmati acara golf Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang akan membuka tirai pada Rabu di Kasumigaseki Country Club di Saitama.

Kelly yang menamatkan saingan dalam Olimpik pertamanya pada edisi Rio 2016 di tempat ke-51, menyedari kualiti pertandingan bakal dihadapinya dan lebih bersikap tenang ketika ditanya mengenai peluang meraih pingat.

“Ia adalah satu penghormatan apabila dapat mewakili negara dan saya teruja untuk melakukannya di Olimpik Tokyo kali ini.

“Sudah semestinya, matlamat utama adalah untuk mendapatkan pingat buat Malaysia tapi ada empat pusingan pertandingan dan membabitkan banyak lubang. Saya mahu menikmati pertandingan kali ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Bagaimanapun, perjalanan tidak mudah buat pemain berusia 27 tahun negara itu kerana khuatir mengenai keadaan cuaca terik yang turut menjadi kebimbangan pemain golf lain.

Selain itu, juara tiga kali Terbuka Wanita Malaysia itu turut terkesan dengan perjalanan pergi-balik dari perkampungan sukan ke venue yang memakan masa selama tiga jam, tambahan pula beliau masih mengalami ‘jetlag’ selepas perjalanan jauh.

“Leher saya berasa kurang selesa kerana keadaan katil keras dan jelas saya mengalami ‘jetlag’ selepas perjalanan dari Amerika Syarikat baru-baru ini. Tapi jangan bimbang, kerana saya sudah bersedia untuk esok.” katanya.

Kelly akan berentap dengan 59 peserta apabila acara golf wanita berlangsung pada 4 hingga 7 Ogos.

Artikel Berkaitan:

Antara nama-nama hebat yang turut beraksi termasuk juara bertahan Inbee Park dari Korea Selatan, pemain nombor satu dunia Nelly Korda dari Amerika Syarikat dan pemenang 10 kali Jelajah LPGA Brooke Henderson dari Kanada.

Pemain golf lelaki negara Gavin Green menamatkan saingan di tempat ke-57 selepas melengkapkan empat pusingan dengan melakukan empat di atas 288.- Bernama