Tutup Parlimen, antara realiti dan helah politik

Parlimen -Foto Bernama
Parlimen -Foto Bernama
A
A
A

BAHARU empat hari Sidang Khas Dewan Rakyat diadakan, semua ahli Parlimen sudah diminta meninggalkan bangunan Parlimen apabila 11 individu dikesan positif Covid-19 dalam tempoh itu.

Walaupun jumlah kes positif itu hanya 0.8 peratus namun penilaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati persidangan di Parlimen merupakan perhimpunan berisiko tinggi untuk berlaku penularan jangkitan.

Ini kerana, enam daripada 11 kes tersebut mempunyai kadar kebolehjangkitan tinggi dan bergejala yang berpotensi menjadi superspreader. Di sebalik fakta itu, satu insiden yang tidak berpihak kepada kerajaan telah berlaku pada sesi pagi hari keempat persidangan.

Teriakan 'derhaka' menggamatkan Dewan Rakyat apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membacakan kenyataan terbaharu dari Istana Negara.

Menurut kenyataan itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan pengumuman kerajaan mengenai pembatalan semua Ordinan Darurat kerana ia belum diperkenankan baginda.

Apa yang dikatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan bercanggah dengan titah Seri Paduka Baginda.

Ketika tiada penjelasan lanjut daripada Takiyuddin, sidang khas pada Khamis itu tidak semena-mena ditangguhkan sebanyak tiga kali sebelum diputuskan bersambung pada Isnin.

Alasan yang diberikan, semua ahli Parlimen perlu diberi masa menjalani ujian saringan Covid-19 berikutan pengesanan kes positif terbaharu.

Artikel Berkaitan:

Namun dua hari sebelum persidangan bersambung, Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat mengeluarkan notis penangguhan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Situasi itu sudah tidak menggembirakan pembangkang dan sebilangan ahli Parlimen kerajaan. Mereka menuduh kerajaan sengaja mencari helah selepas terbukti tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong.

Sebelum ini, mereka berulang kali mendesak agar sidang Parlimen diadakan dalam tempoh darurat.

Mereka mendakwa kerajaan menggunakan Covid-19 sebagai satu helah politik bagi mengelak pembukaan Parlimen susulan tindakan beberapa ahli Parlimen UMNO yang menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mereka sekali lagi mendakwa kerajaan menggunakan helah yang sama untuk menangguhkan Sidang Khas Dewan Rakyat semalam.

Hujah mereka, jika sidang diteruskan, sudah pasti istilah derhaka menjadi peluru pihak pembangkang untuk menyerang kerajaan.

Jika tersilap percaturan, boleh mencetuskan pengundian untuk membuktikan sokongan majoriti kepada perdana menteri.

Tanpa sidang Dewan Rakyat, semua ahli Parlimen tidak boleh membahas dan melaksanakan tanggungjawab semak dan imbang. Sebagai alternatif, mereka sekadar boleh lantang bersuara di media sosial dan akhbar.

Dalam erti kata lain, segala perancangan memerangi pandemik Covid-19 ketika ini adalah keputusan yang dibuat oleh satu pihak sahaja iaitu kerajaan sendiri.

Apa pun, kerajaan telah pun membuat keputusan bahawa sidang khas Parlimen itu ditangguh selari dengan saranan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Seramai 2,093 individu telah disaring sebelum hari persidangan dengan 56 daripadanya disahkan positif.

Susulan itu dalam satu mesyuarat jam 8 pagi bersama KKM pada hari pertama persidangan, wakil parti kerajaan dan pembangkang bersetuju sidang Dewan Rakyat akan dihentikan serta-merta jika terdapat kes baharu positif Covid-19.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri sebelum ini dilaporkan berkata, penangguhan sidang khas itu bukan isu politik sebaliknya dibuat berdasarkan sains dan fakta kesihatan.

Namun demikian, persepsi rakyat terhadap apa yang sedang berlaku, tidak boleh dipandang sebelah mata.

Rakyat menilai sama ada tindakan menutup Parlimen itu satu helah politik atau betul-betul kerana Covid-19.

Lebih-lebih lagi ada isu yang menyentuh Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Negara yang amat disayangi rakyat berbilang kaum.

Mungkin selepas kerajaan berjaya tangani pandemik Covid-19, persepsi itu akan berubah.

* Mohd Ridzuan Abu Hassan ialah Wartawan Sinar Harian