Pemimpin politik perlu utamakan kepentingan negara bukan peribadi

Anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) mengawal dan melakukan sekatan di sekitar Jalan Parlimen. -Foto Bernama
Anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) mengawal dan melakukan sekatan di sekitar Jalan Parlimen. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Di saat negara menghadapi 'perang' melawan Covid-19, pemimpin politik perlu mempunyai keutamaan yang jelas dengan meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan peribadi.

Penganalisis politik dan kerajaan, keselamatan negara, patriotisme dan pembinaan negara bangsa, Dr Al-Azharri Siddiq Kamunri berkata, menangani pandemik Covid-19 perlu menjadi keutamaan oleh semua pihak berbanding persaingan merebut kuasa.

"Saya melihat suatu gencatan politik atau kenyamanan politik diperlukan bagi memastikan kerajaan dapat terus fokus melaksanakan program-program ekonomi yang telah diumumkan semasa Pelan Pemulihan Negara baru-baru ini.

"Dengan adanya gencatan politik ini, maka kerajaan dan pembangkang boleh bersama-sama fokus menjaga kebajikan dan keselamatan rakyat yang sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran besar dari sudut kesihatan, ekonomi dan sosial. Ini adalah tanggungjawab bersama, bukan tanggungjawab kerajaan sahaja," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, ketika negara berada dalam keadaan sukar ini, kematangan dalam berpolitik amat penting dan ahli politik perlu mengamalkan prinsip demokrasi yang betul dengan memberi peluang kepada kerajaan mentadbir negara dengan aman.

Senada dengan beliau, penganalisis politik dan media sosial, Profesor Madya Dr Sara Chinnasamy dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam yang berpendapat pemimpin politik perlu mengutamakan kesejahteraan rakyat dan tidak sepatutnya menggadaikan nyawa rakyat demi kepentingan politik mereka.

"Terutama semasa pandemik ini, yang penting adalah kesejahteraan rakyat. Oleh itu, pemimpin politik perlu menghentikan retorik politik mereka dan bekerjasama (dengan kerajaan) dan bukannya membantah," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: