Tugas bomba terganggu selepas jentera rosak

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Tugasan anggota bomba dan penyelamat (JPBM) Subang Jaya terganggu berikutan tidak mempunyai jentera mencukupi selepas dua daripadanya rosak dalam insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, November lalu.

Ketua Balai JPBM Subang Jaya, Syed Sharil Anuar Syed Sulaiman berkata, dua jentera itu adalah Fire Rescue Tender (FRT) dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

"Kedua-dua jentera itu tersadai di balai dan tidak boleh buat apa-apa," katanya.

Menurutnya, balai bomba Subang Jaya menerima 10 panggilan kecemasan setiap hari.

"Selain memadamkan kebakaran, skop kerja kami sangatlah luas antaranya menyelamatkan mangsa terperangkap di dalam lif, daripada haiwan berbisa, kemalangan jalan raya dan cubaan bunuh diri yang mana memerlukan jentera kerana melibatkan bangunan tinggi.

"Dalam masa sama kita juga buat latihan kebakaran di premis kawasan Subang Jaya yang mana keperluan FRT kini sangatlah mendesak,"katanya.

Beliau berkata, audit terhadap kedua-dua jentera itu telah dilakukan dan mendapati FRT mengalami kerosakan antaranya kemek pada keseluruhan jentera,tangga belakang patah dan hilang, cermin pecah.

"Manakala EMRS mengalami kerosakan cermin bahagian belakang, pintu sisi tercabut, lampu, bumper dan tayar pecah," katanya pada pemeriksaan utama oleh Pegawai Pengendali Inkues Hamdan Hamzah hari ini.

Artikel Berkaitan: