X

Kindly register in order to view this article
!

BAM puas hati pencapaian skuad negara di Tokyo 2020

Wong Choon Hann
A
A

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) berpuas hati dengan pencapaian skuad badminton negara pada temasya Sukan Olimpik di Tokyo.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choon Hann berkata, secara keseluruhannya pemain negara sudah memberikan yang terbaik dengan kem badminton negara membawa pulang satu pingat gangsa menerusi gandingan beregu Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

"Kalau diikutkan kami mempunyai beberapa peluang menerusi acara beregu campuran, perseorangan lelaki dan beregu lelaki untuk meraih pingat.

"Mereka buat yang terbaik dan beregu lelaki berjaya menghadiahkan pingat kepada negara dan merealisasikan sasaran kita di Tokyo.

"Secara keseluruhan ia satu kejayaan kepada semua dan kejayaan lebih besar kepada Aaron-Wooi Yik. Saya juga percaya kejayaan ini untuk negara dan peminat yang menyokong kem badminton negara," katanya dalam sidang media secara maya pada Ahad.

BAM sebelum ini meletakkan sasaran satu pingat tanpa mengira warna untuk dibawa pulang oleh skuad badminton negara pada temasnya Olimpik kali ini.

Ia berjaya direalisasikan oleh Aaron-Wooi Yik dalam perlawanan penentuan pingat gangsa selepas mengetepikan cabaran beregu Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 17-21, 21-17, 21-14 dalam perlawanan yang berlangsung di Musashino Forest Sport Plaza.

Dalam pada itu, beliau juga turut melihat harapan lebih besar boleh diletakkan kepada pemain negara dalam misi memburu emas di Olimpik Paris 2024.

"Saya percaya, secara keseluruhan kami lakukan dengan bagus untuk memastikan pingat di sini, tetapi ini bukan 'final destination' buat kami dan ia satu penanda aras untuk kami dapat pergi lebih jauh dengan pemain muda yang kami ada.

"Saya boleh katakan Paris 2024 merupakan sasaran kami seterusnya. Kami akan bekerja keras dan memastikan program serta persediaan berjalan lancar sebelum paris 2024.

"Kalau dilihat banyak pemain mula matang dan mereka semakin menghampiri jurang dengan pemain terbaik dunia. Saya percaya mereka akan mempunyai peluang untuk menguasai ranking dunia dan bawa balik pingat emas pada Paris 2024," katanya.

Sebelum ini, BAM turut meletakkan sasaran untuk memenangi emas pada Olimpik Paris 2024 menerusi beberapa pemain termasuk perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia dan gandingan Aaron Chia-Wooi Yik.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!