Dua penjenayah maut ditembak di Taman Abad

Tangkap layar video tular yang memaparkan kejadian tembakan di Taman Abad.
Tangkap layar video tular yang memaparkan kejadian tembakan di Taman Abad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Dua penjenayah terbunuh selepas berbalas tembakan dengan anggota polis di Jalan Abad, Taman Abad dekat sini, petang Jumaat.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, Polis Kontinjen Johor mengesahkan menerima satu laporan berhubung kejadian polis berbalas tembakan pada jam 5.04 petang.

Menurutnya, seorang suspek berusia 42 tahun bersama rakannya mati ditembak ketika berada dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka.

"Kejadian berlaku semasa sepasukan polis dari Bahagian D14, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Bahagian D9, JSJ Kontinjen Johor mengekori sebuah Toyota Estima berwarna putih di lokasi kejadian dalam keadaan mencurigakan.

"Apabila menyedari telah diekori, suspek bertindak melarikan diri sambil melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan polis yang sedang mengekori rapat.

"Tindakan suspek menyebabkan pihak polis turut melepaskan tembakan ke arah MPV dinaiki suspek, kejadian berbalas tembakan berlarutan sehingga keadaan selamat," katanya dalam satu kenyataan.

Kumar memberitahu, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek yang berada di dalam Toyota Estima tersebut telah terkena tembakan dan meninggal dunia.

Ujarnya, semakan dibuat mendapati suspek berusia 42 tahun mempunyai 38 rekod jenayah dan dadah manakala seorang lagi suspek masih belum dikenal pasti identiti selepas tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai.

Artikel Berkaitan:

Tangkap layar video anggota polis melencongkan aliran trafik di kawasan Kebun Teh setelah Jalan Abad ditutup buat sementara waktu ekoran insiden tembakan pada petang Jumaat.
Tangkap layar video anggota polis melencongkan aliran trafik di kawasan Kebun Teh setelah Jalan Abad ditutup buat sementara waktu ekoran insiden tembakan pada petang Jumaat.

"Pemeriksaan lanjut yang dijalankan telah menjumpai dua pucuk pistol di dalam kenderaan dinaiki suspek itu.

"Polis turut menjumpai sepucuk pistol pada badan salah seorang suspek. Turut ditemui pelbagai jenis bahan dipercayai dadah berbahaya di dalam kenderaan tersebut," katanya.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat lain berhubung kejadian ini dirayu tampil menyalurkan maklumat ke talian hotline Polis Johor 019-2792095 atau talian bilik gerakan 07-221299," katanya.

Sebelum itu, tular beberapa video memaparkan insiden tembakan itu yang mengejutkan pengguna jalan raya dan penduduk.

Selain itu, terdapat juga video yang menunjukkan anggota polis melencongkan aliran trafik di kawasan Kebun Teh setelah Jalan Abad telah ditutup buat sementara waktu ekoran insiden itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!