Piala FA: Selangor lolos ke suku akhir

Para pemain meraikan kemenangan Selangor selepas menewaskan Negeri Sembilan 4-0 dalam aksi Piala FA di Petaling Jaya pada Sabtu. Foto Facebook Selangor FC
Para pemain meraikan kemenangan Selangor selepas menewaskan Negeri Sembilan 4-0 dalam aksi Piala FA di Petaling Jaya pada Sabtu. Foto Facebook Selangor FC
A
A
A

SELANGOR FC (SFC) melangkah bergaya ke saingan suku akhir Piala FA 2024 selepas membenam cabaran Negeri Sembilan FC 4-0 dalam aksi pusingan 16 di laman sendiri, Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebentar tadi.

Kemenangan skuad Gergasi Merah bimbingan Nidzam Jamil itu dipacu oleh dua import, Yohandry Orozco dan Alvin Fortes.

Malah ia juga merupakan kemenangan besar kedua buat SFC ke atas skuad Jang pada musim ini selepas menang dengan jaringan sama dalam saingan Liga Super di gelanggang sama bulan lepas.

Kemunculan pemain sensasi Gergasi Merah, Faisal Halim di stadium turut membakar semangat rakan sepasukan apabila mendahului pada minit keenam selepas Orozco tenang menyudahkan hantaran Alex Agyarkwa.

Berselang lapan minit Orozco menggandakan jaringan susulan kesilapan pertahanan skuad Rusa, Aliyu Abubakar yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Menuju ke penghujung babak pertama, Alvis menambah derita pasukan pelawat apabila meledak gol ketiga hasil umpanan dari pemain tengah, Nooa Laine.

Memasuki separuh masa kedua pasukan tuan rumah berpeluang melebarkan jurang jaringan, namun sepakan penalti Ronnie Fernandez pada minit ke-66 diselamatkan penjaga gol NSFC, Syahmi Adib Haikal Mohd Shukri.

Skuad Gergasi Merah tidak menunggu lama untuk menebus kegagalan itu apabila Fortes membuat sepakan leret untuk menewaskan Syahmi buat kali keempat.

Artikel Berkaitan:

Jaringan itu sekali gus menoktahkan kemenangan SFC untuk menempah saingan dengan Kuching City dalam aksi suku akhir yang akan berlangsung secara timbal balik.

Kuching City FC mara ke kelompok lapan pasukan terbaik setelah menewaskan Kuala Lumpur City di laman lawan 3-2 pada Jumaat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!