352 keluarga B40 di Johor terima sumbangan pek makanan YWM

Wakil YWM diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (tengah) ketika menyampaikan sumbangan pek makanan keperluan kepada golongan B40.
Wakil YWM diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (tengah) ketika menyampaikan sumbangan pek makanan keperluan kepada golongan B40.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 352 keluarga B40 di Johor telah menerima sumbangan pek makanan keperluan menerusi Program Bantuan Dana Perlu anjuran Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bagi tujuan meringankan beban golongan berkenaan ekoran pandemik Covid-19.

Menerusi satu kenyataan, YWM berkata, pihaknya turut menyediakan sebanyak 32 unit tablet kepada pelajar yang terdiri daripada golongan B40 selain menyediakan 10 buah tablet kepada tiga buah sekolah melibatkan Sekolah Kebangsaan Labis (SK Labis), SK LKTP Tenang dan SK Sri Labis.

“Kesemua bantuan ini adalah di bawah program Dana Pelajar YWM. Bagi sumbangan tablet kepada pihak sekolah, tablet ini akan dipinjamkan kepada murid yang mengalami kesukaran menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Turut diserahkan adalah tatacara pengurusan aset wakaf kepada pihak sekolah bagi memastikan pengurusan tablet tersebut selari dengan konsep wakaf,” menurut kenyataan itu pada Ahad.

Program Bantuan Dana Perlu dan Dana Pelajar itu telah memperuntukkan sebanyak RM103,500.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM43,500 adalah daripada Dana Perlu dan Dana Pelajar YWM, manakala sejumlah RM60,000 lagi daripada Dana Tabung Musa’adah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia-YWM (Jakim-YWM).

Justeru, untuk menjadi sebahagian daripada penyumbang Program Dana Pelajar, orang ramai boleh layari www.ywm.gov.my/wakaf-online dan memilih Sijil Wakaf Tunai Pendidikan untuk berwakaf atau salurkan sumbangan ke akaun CIMB Islamic Bank Berhad (8602218186) untuk program Dana Perlu.

Artikel Berkaitan: