Pemuda MCA Perak mahu Muhyiddin undur segera

Daniel
Daniel
A
A
A

IPOH - Pemuda MCA Perak mengharapkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk segera berundur bagi membolehkan individu yang lebih layak menerajui pentadbiran negara dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Ketua Pemuda MCA Perak, Daniel Wa Wai How berkata, Ahli Parlimen Pagoh itu tidak boleh terus meletakkan negara dalam keadaan parah akibat kegagalan pelaksanaan penutupan penuh pelbagai sektor dalam tempoh darurat sebelum ini.

Menurut beliau, pelbagai formula dilakukan oleh kerajaan untuk mengekang penularan Covid-19 yang kini sudah melebihi 1 juta kes positif secara keseluruhan.

"Kita tidak dapat melihat hala tuju negara ini dengan jelas kerana kemelut politik yang berlaku telah menghakis keberkesanan pentadbiran kerajaan. Bagi saya secara peribadi, perdana menteri yang ada patut berundur secara terhormat supaya kerajaan dapat diganti dengan seorang perdana menteri yang baharu.

"Perdana menteri yang baharu itu perlu ditetapkan tempoh jawatan beliau iaitu selama enam bulan bagi meneruskan program pemberian vaksin kepada semua rakyat Malaysia dan membuat penyusunan pentadbiran menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Daniel yang juga Setiausaha Pemuda MCA Kebangsaan berkata, Muhyiddin seharusnya sedar mengenai kegagalan pentadbirannya kerana sehingga Ogos, majoriti rakyat Malaysia masih berkurung di dalam rumah akibat peningkatan mendadak Covid-19.

Menurutnya, kilang yang mencetuskan pelbagai kluster tempat kerja pula diberikan layanan sebaliknya oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang membenarkan mereka bebas beroperasi.

Jelas beliau, tindakan itu amat tidak adil bagi pengusaha kecil dan sederhana yang telah kehilangan pendapatan lebih dua bulan tetapi masih perlu membayar utiliti serta sewaan premis mereka.

Artikel Berkaitan:

"Petugas barisan hadapan kita bekerja siang dan malam sehingga mereka lesu upaya (burnout) disebabkan peningkatan kes positif Covid-19 yang tidak terkawal di seluruh negara dalam tempoh darurat.

"Bagi saya, rakyat Malaysia perlu seorang pemimpin yang boleh memerangi Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara, bukan pemimpin yang menggunakan darurat bagi melanjutkan tempoh pemerintahannya," katanya yang turut berada di dalam Majlis Tertinggi MCA.

Menurut Daniel, pemimpin yang dilihat wajar mengambil alih pentadbiran negara ketika ini dalam tempoh singkat adalah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atau Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berdasarkan pengalaman mereka.