Guna jentera pengorek kaut gali lubang kubur jenazah Covid-19

Foto Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
Foto Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peningkatan jumlah pesakit Covid-19 yang meninggal dunia di ibu negara mutakhir ini memaksa pasukan pengurusan pengebumian jenazah untuk menggunakan jentera pengorek kaut bagi menggali lubang kubur di beberapa tanah perkuburan sekitar Kuala Lumpur.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Datuk Mohd Ajib Ismail memberitahu, ia lebih-lebih lagi apabila jumlah jenazah yang perlu diuruskan di Tanah Perkuburan Islam Raudhathul Sakinah (TPIRS) Lebuh Raya KL-Karak di Taman Selaseh dan TPIRS Bukit Kiara kadangkala menjangkau sehingga lebih 30 jenazah sehari.

“Pihak jabatan terpaksa guna langkah lebih proaktif menggunakan pengorek kaut iaitu dengan menyewa jentera bagi menggali lubang kubur dan penggali kita yang mahir selepas itu akan membuat liang lahad pula.

“Jentera ini juga kami gunakan untuk membantu menutup lubang kubur, semua ini adalah bagi mempercepatkan proses pengurusan jenazah,” katanya kepada Bernama.

Terdapat 113 petugas dalam Pasukan Pengurusan Jenazah Khas Covid-19 yang menguruskan jenazah di hospital dan pusat perubatan sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan, merangkumi 74 petugas Jawi, 21 petugas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia serta 18 daripada Kor Agama Angkatan Tentera.

Bagi petugas sukarelawan pula, terdapat 37 penggali kubur dan 54 pemandu jenazah.

Pasukan berkenaan menguruskan jenazah dari beberapa hospital antaranya Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Ampang, Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM-PPUKM), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Institut Jantung Negara (IJN), Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC), Hospital Putrajaya (HPJ), dan Institut Kanser Negara (IKN).

Menurut Mohd Ajib, setakat ini jumlah jenazah paling banyak diuruskan pasukan berkenaan sehari ialah pada Ahad lepas, iaitu sebanyak 93 jenazah, manakala semalam 74 jenazah.

Artikel Berkaitan:

Setakat 8 pagi ini, sebanyak 2,352 jenazah Covid-19 telah diuruskan pasukan berkenaan sejak Mac tahun lepas merangkumi 1,320 jenazah lelaki dan 1,032 jenazah wanita, majoritinya berusia 41 hingga 60 tahun iaitu sebanyak 959 jenazah, diikuti 938 jenazah berusia 61 hingga 80 tahun.

Bagaimanapun Mohd Ajib melahirkan rasa syukur kerana semua ujian dan cabaran dihadapi pasukan berkenaan khususnya di hospital dan tanah perkuburan dapat ditangani menerusi kerjasama erat pelbagai agensi dan sukarelawan.

“Kami sentiasa berusaha jaga kebajikan mereka dan berusaha pastikan semua pengurusan jenazah diuruskan mengikut syariah,” katanya sambil menambah, pasukan berkenaan turut dibekalkan bantuan makanan setiap hari serta mengambil kira keperluan yang berkaitan. -Bernama