Pelancongan sumbang RM84.1 bilion pada 2018

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi (tengah) berbual bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Isham Ishak (kanan) dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Musa Yusof selepas sidang media berhubung Prestasi Pelancongan Malaysia 2018 di Pusat Media Tourism Malaysia di kementeriannya hari ini. - Foto Bernama
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi (tengah) berbual bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Isham Ishak (kanan) dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Musa Yusof selepas sidang media berhubung Prestasi Pelancongan Malaysia 2018 di Pusat Media Tourism Malaysia di kementeriannya hari ini. - Foto Bernama
A
A
A
PUTRAJAYA - Sektor pelancongan menyumbang sebanyak RM84.1 bilion kepada ekonomi negara tahun lepas, meningkat 2.4 peratus berbanding RM82.2 bilion pada tahun sebelumnya, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Beliau berkata, walaupun terdapat sedikit penurunan dalam ketibaan pelancong antarabangsa daripada 25.9 juta pada 2017 kepada 25.8 juta pada 2018, perbelanjaan per kapita pelancong meningkat 2.9 peratus daripada RM3,166 kepada RM3,257.

"Perbelanjaan per kapita paling tinggi adalah dari Asia Barat sebanyak RM9,947 dan per kapita terendah adalah dari ASEAN sebanyak RM2,678.7," katanya pada sidang media mengenai prestasi pelancongan Malaysia 2018, di sini hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) Datuk Isham Ishak dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Musa Yusof.

Mohamaddin berkata penyumbang terbesar perbelanjaan pelancong ialah pasaran jarak dekat ASEAN sebanyak RM48.5 bilion, namun terdapat penurunan 12.8 peratus berbanding 2017 yang mencatat RM55.6 bilion.

Mohamaddin berkata, sumbangan dari pasaran bukan ASEAN pula adalah RM35.6 bilion antaranya dari Asia Timur (RM18.4 bilion), Eropah (RM5.5 bilion), Asia Selatan (RM3.8 bilion), Asia Barat (RM3.1 bilion), Amerika (RM1.8 bilion) dan Australia (RM1.6 bilion).

Beliau berkata perbelanjaan pelancong adalah tertumpu kepada segmen beli belah sebanyak 33.4 peratus, diikuti segmen penginapan (25.7 peratus) serta makanan dan minuman (13.4 peratus).

"Barangan kraftangan Malaysia merupakan item yang popular dibeli oleh pelancong selain makanan," katanya.

Dari segi purata tempoh tinggal pelancong asing di Malaysia, Mohamaddin berkata ia meningkat sebanyak 0.8 malam iaitu 6.5 malam pada 2018 berbanding 5.7 malam pada 2017.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, peningkatan tempoh tinggal dicatatkan dari pasaran jarak jauh iaitu Asia Barat (9.7 malam), Eropah (8.6 malam), Asia Tengah (8.3 malam) serta pasaran jarak sederhana seperti Asia Selatan (6.2 malam) dan Asia Timur (6.1 malam).

Mohamaddin berkata, sepuluh pasaran tertinggi yang menjana pelancong ke Malaysia pada 2018 ialah Singapura (10.6 juta), Indonesia (3.28 juta), China (2.9 juta), Thailand (1.9 juta), Brunei (1.38 juta), Korea Selatan (616,783), India (600,311), Filipina (396,062), Jepun (394,540) dan Taiwan (383,922).

Mengenai Tahun Melawat Malaysia 2020, beliau berkata aspek promosi kini sedang berjalan rancak melalui penyertaan negara di beberapa pameran pelancongan besar antaranya di United Kingdom, Sepanyol dan Jerman.

"Dalam penyertaan-penyertaan ini kita mencapai respons agak tinggi," katanya.

Menurut Mohamaddin, Malaysia menyasarkan kedatangan 28.1 juta pelancong pada tahun ini melibatkan pendapatan pelancongan sebanyak RM92.2 bilion dan dijangka meningkat kepada 30 juta pelancong melibatkan pendapatan RM100 bilion sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Sementara itu, mengenai langkah mewajibkan pengusaha hotel dan perkhidmatan penyewaan rumah percutian dalam talian, Airbnb, mendaftar dengan kementerian, Isham berkata sesi dialog dengan pengusaha berkenaan akan diadakan dalam masa terdekat bagi memudahkan aspek pendaftaran tersebut.

"Kerajaan tidak bercadang mewajibkan mereka mendapatkan lesen, hanya meminta mereka untuk mendaftar.

"Kita perlu memahami mereka terlebih dahulu dan melihat bagaimana ia dapat menyumbang kepada kedatangan pelancong pada masa akan datang," katanya.

Isham berkata langkah mewajibkan pendaftaran pengusaha Airbnb itu juga sebagai persediaan untuk Tahun Melawat Malaysia 2020 bagi memberi jaminan kepada pelancong mengenai kebajikan mereka apabila menggunakan perkhidmatan tersebut. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!