Maqis Johor rampas lebih 1,000kg ikan sejuk beku

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Negeri Johor merampas lebih 1,000 kilogram (kg) isi ikan sejuk beku dipercayai dari Indonesia menerusi pemeriksaan terhadap sebuah lori di Kompleks Sultan Abu Bakar di Iskandar Puteri pada Jumaat.

Pengarahnya, Hizzuan Hasim berkata, pemeriksaan pada jam 12.30 tengah hari itu mendapati lori dipandu seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun, telah membawa isi ikan berkenaan masuk ke negara ini menerusi Singapura.

“Pegawai Maqis yang menjalankan pemeriksaan mendapati, maklumat yang dikemukakan adalah tidak tepat dan mengelirukan.

“Justeru, kesemua ikan sejuk beku bernilai RM31,500 dan seberat 1,260kg itu dirampas untuk tindakan lanjut. Manakala pemandu lori itu pula dilepaskan selepas keterangan diambil,” katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Hizzuan berkata, mengimport apa sahaja jenis keluaran pertanian dengan memberikan maklumat palsu, tidak tepat atau mengelirukan, adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. - Bernama

Artikel Berkaitan: