X

Kindly register in order to view this article
!

Jangan mudah hilang fokus: Kurniawan

Pemain Sabah FC giat menjalani latihan sebagai persiapan mengharungi saingan Liga-M. - Foto Sabah Football Club
A
A

PEMAIN Sabah FC diharapkan dapat tidak mudah hilang fokus khususnya pada saat-saat akhir perlawanan dalam usaha menjamin kejayaan ketika berdepan berdepan Terengganu FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, pada Ahad.

Pengendali Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto berkata, kehilangan fokus pada saat-saat akhir itu juga dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang menyebabkan skuad Tambadau itu terpaksa berputih mata dalam beberapa perlawanan setakat ini, biarpun mendahului lawan pada satu ketika.

“Pemain kita mudah hilang fokus pada saat-saat akhir dan perkara ini telah menyebabkan kita gagal membawa pulang tiga mata daripada beberapa perlawanan.

“Justeru diharapkan perkara seperti ini tidak lagi berulang dan kita akan dapat membawa pulang tiga mata untuk memastikan kedudukan yang lebih stabil dalam Liga Super kali ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Selasa lalu, Sabah FC gagal memanfaatkan peluang beraksi di gelanggang sendiri apabila terikat 1-1 oleh Sri Pahang FC.

Biarpun mendahului menerusi penyerang, Josip Ivancic pada minit ke-58 namun Sri Pahang FC berjaya menyamakan kedudukan menerusi Muhammad Baqiuddin Shamsudin pada minit ke-67 sebelum Abdul Malik Mat Ariff menjaringkan gol kedua pada minit ke-93.

Namun mujurlah Ivancic kemudiannya menyamakan kedudukan pada minit ke-95 bagi menjamin satu mata diraih Sabah FC pada perlawanan berkenaan.

Sementara itu, Kurniawan turut mengakui agak sedikit kecewa dengan keputusan berkenaan, namun tetap optimis skuad kendaliannya itu mampu bangkit pada aksi berdepan Terengganu FC.

Katanya, kesemua pemain turut diingatkan agar memberikan aksi terbaik masing-masing pada perlawanan berkenaan bagi merealisasikan misi kemenangan ke atas skuad Penyu itu.

“Saya yakin pemain mampu bangkit dan seterusnya mencapai kemenangan yang penting mereka perlu tingkatkan semangat dan juga mental untuk perlawanan ini,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!