X

Kindly register in order to view this article
!

Cabaran Khairul Anuar di Tokyo terkandas di pusingan ketiga

Khairul Anuar ketika beraksi pada acara Recurve Individu Lelaki menentang pemanah dari Korea Selatan, Kim Woojin dalam pusingan 16 terbaik pada Olimpik Tokyo 2020 di Yumenoshima Final Field, pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A

TOKYO - Perjuangan jaguh memanah negara Khairul Anuar Mohamad di Sukan Olimpik Tokyo berakhir apabila tumpas kepada pemanah Korea Selatan, Kim Woojin pada pusingan ketiga acara Recurve Individu Lelaki pada Jumaat.

Walaupun menampilkan aksi membanggakan, pemanah kelahiran Kemaman, Terengganu itu masih gagal menyaingi kehebatan bekas juara dunia itu apabila tumpas 0-6 pada aksi yang berlangsung di Lapangan Memanah Yumenoshima.

Kim Woojin, yang menghuni ranking kelima dunia ternyata terlalu handal apabila melakukan panahan sempurna 30 mata pada ketiga-tiga set berbanding Khairul Anuar yang mencatat 27-27-29 mata.

Pencapaian itu menyaksikan pemanah Korea Selatan itu melebarkan rekod pertemuan dengan Khairul Anuar yang menghuni ranking ke-15 dunia dengan lima kemenangan tanpa sebarang kejayaan memihak kepada pemanah negara itu.

Ketika ditemui pemberita selepas pusingan ketiga atau 16 terbaik itu, Khairul Anuar mengakui kehebatan pemanah dari Korea Selatan itu, walaupun beliau sudah menampilkan aksi sebaik mungkin.

“Hari ini, Alhamdulillah, saya lebih bersedia berbanding aksi sebelum ini apabila fokus saya ketika melakukan panahan sedikit terganggu.

“Saya lebih fokus ketika melakukan panahan, tetapi dia (Kim Woojin) jauh lebih baik walaupun saya sudah memberikan yang terbaik hari ini,” kata bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil itu.

Beliau berkata, tumpuannya kini adalah untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi beberapa kejohanan besar pada tahun hadapan, antaranya Sukan Komanwel Birmingham, Sukan Asia Hangzhou, China dan Sukan SEA Vietnam, selain Kejohanan Dunia di Amerika Syarikat.

“Sebenarnya, saya lebih memberi fokus kepada acara Recurve Berpasukan, penyertaan dalam acara individu ini sebagai bonus kepada saya.

“Sudah pasti selepas ini saya akan berusaha melayakkan diri untuk bertanding pada Sukan Olimpik Paris 2024. Saya perlu perbaiki lagi dari segi ‘shooting’ (melakukan panahan) pada kejohanan-kejohanan akan datang, supaya sudah benar-benar bersedia pada temasya Olimpik 2024,” katanya.

Ditanya mengenai jurang antara pemanah Malaysia dan Korea Selatan, Khairul Anuar menjelaskan pemanah negara bermula agak lewat dalam asas sukan memanah, berbanding pemain negara itu yang ditanamkan mengenai perkara tersebut sejak di usia awal.

“Saya mula mewakili Terengganu pada Sukan Malaysia (Sukma) 2008 di Terengganu dan ketika mula memasuki Sekolah Sukan Bukit Jalil pada 2011, baru saya diberikan penerangan lebih mendalam tentang asas-asas sukan memanah.

“Itu yang membezakan majoriti pemanah Malaysia berbanding pemanah Korea Selatan yang sering menguasai kejohanan di peringkat dunia. Walaupun kita agak lewat diperkenalkan dengan asas memanah, tidak mustahil kita boleh menyaingi mereka satu hari nanti,” kata pemanah berusia 29 tahun itu. -Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!