Buruh perlu jalani pemeriksaan mental

No Image Caption
A
A
A

KLANG - Seorang buruh, Helmee Othman diperintahkan menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Tanjong Rambutan Perak walaupun dia mengaku bersalah di dua Mahkamah Majistret berasingan di sini atas satu pertuduhan mencuri patung sembahan dan dua pertuduhan mencemarkan sebuah surau di Pelabuhan Klang minggu lepas.

Helmee,38, mengaku bersalah di hadapan Majistret Roslizi Sulaiman kerana mencuri patung sembahan dan mencemar surau Sabilul Huda, Taman Pandamar Indah Pelabuhan Klang pada 4.15 petang 20 Februari manakala di hadapan Majistret Muhammad ‘Azzam Abidin dia mengaku bersalah mencemar surau yang sama pada 2.45 petang 23 Februari.

Bagaimanapun kedua-dua majistret memutuskan adalah tidak selamat untuk menerima pengakuan bersalah tertuduh dan sehubungan itu memerintahkan Helmee dihantar menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Tanjong Rambutan, Perak selama sebulan.

Kedua-dua majistret menetapkan 27 Mac depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan psikiatri.

Sejurus selepas Helmee mengaku bersalah, peguamnya Nur Aida Md Zainuddin memohon mahkamah agar menyemak terlebih dahulu tahap kewarasan dan akal tertuduh sebelum menerima pengakuan bersalahnya.

"Mahkamah perlu semak terlebih dahulu tahap kewarasan dan akal tertuduh memandangkan seorang yang waras dan normal tidak akan melakukan perbuatan yang melibatkan isu sensitif iaitu kepercayaan agama,” katanya.

Bagi kesalahan mencemar surau, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Helmee juga didakwa mencuri patung sembahan milik Cheong Lin Chai, 51, di sebuah rumah di Pandamaran di sini, antara pukul 4 petang hingga 9.30 malam 20 Mac.

Artikel Berkaitan:

Kesalahan itu di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan itu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Media pada Isnin melaporkan polis menahan seorang lelaki berhubung kejadian penemuan tiga patung berhala di surau berkenaan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli dilaporkan sebagai berkata, bahawa lelaki itu dipercayai mempunyai masalah mental 'gila isim' (mengamalkan ajaran Islam yang menyimpang) selepas mengaku pernah belajar ilmu agama yang salah di sebuah negara jiran. - Bernama