X

Kindly register in order to view this article
!

PH layak calonkan PM baharu

Kor Ming menyerahkan sumbangan kepada seorang penerima di Kampung Bemban, pada Jumaat.
A
A

BATU GAJAH - Pakatan Harapan (PH) dilihat lebih layak mencalonkan Perdana Menteri baharu menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin memandangkan gabungan parti itu merupakan blok terbesar di Parlimen.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, dengan jumlah 89 ahli Parlimen menjadikan PH memiliki jumlah yang besar berbanding parti lain.

Bagaimanapun menurutnya, perkara itu masih perlu mengikut Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan budi bicara Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Perdana Menteri baharu selepas diyakini mempunyai kepercayaan majoriti di Dewan Rakyat.

"Maka saya serah kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dan antaranya kini jelas blok yang paling besar adalah PH dengan 89 orang ahli Parlimen.

"Jika tiada seorang pun calon mempunyai majoriti jelas, maka blok yang terbesar wajar diberikan peluang dan dipertimbangkan untuk menjadi Perdana Menteri yang baharu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan di Kampung Bemban di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Kor Ming menggesa Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menepati peraturan mesyuarat sidang Dewan Rakyat pada Isnin depan dengan menerima usul Undi Tidak Percaya terhadap Muhyiddin yang dikemukakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan berkata, usul tersebut wajar dibahas dan diputuskan sama ada Muhyiddin masih mempunyai majoriti di Dewan Rakyat atau sebaliknya.

"(Usul) Ini tidak boleh dilewatkan lagi, mesti diputuskan supaya rakyat jelas untuk mengakhiri kemelut politik dan kestabilan negara.

"Disebabkan ketidakstabilan politik negara, ekonomi merudum, pasaran saham jatuh, ringgit jatuh, rakyat merana, cukuplah dan sudah-sudahlah," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar kemuka usul undi hilang percaya terhadap Muhyiddin

Anwar pada Khamis mengemukakan usul hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Dewan Rakyat.

Ia susulan pendedahan Istana Negara berhubung keputusan kerajaan melaksanakan pembatalan Ordinan Darurat yang membelakangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!