X

Kindly register in order to view this article
!

Isteri meninggal selepas bersalin, bapa tabah jaga empat anak

Mohamad Shukri bersama empat anaknya termasuk bayi berusia sebulan.
A
A

ALOR GAJAH - Biarpun kesedihan pemergian isteri tersayang bulan lalu masih dirasai, namun seorang bapa empat anak tetap tabah dan sabar menjaga anak-anaknya termasuk bayi perempuan berusia sebulan.

Mohamad Shukri Hassan,39 berkata, selepas diuji kehilangan insan tersayang, Monaliza Udin, 35 pada 22 Jun lalu, dia bersama-sama anak berusia 10, 7, 4 dan bayi berusia sebulan mengambil keputusan berpindah ke kampung halamannya di Melaka.

Menurutnya, sebelum ini mereka sekeluarga menetap di Serdang namun membuat keputusan berhijrah bagi membolehkan dia mengusahakan tanah keluarganya untuk bercucuk tanam demi kelangsungan hidup.

Katanya, sebelum ini dia menyara keluarga dengan bekerja sebagai juruteknik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Linggi (KLIA) namun terpaksa berhenti kerja demi memastikan anak-anaknya mendapat perhatian dan tidak terabai.

"Bila berpindah di sini, sekurang-kurangnya keluarga saya dapat juga membantu menjaga anak-anak.

"Lagipun isteri sentiasa berpesan supaya saya menjaga anak-anak. Walaupun masih sedih namun saya tetap perlu kuat demi mereka," katanya.

Mohamad Shukri berkata demikian ketika ditemui selepas menerima sumbangan dan penyampaian Faedah Penakat dan Faedah Pengurusan Jenazah oleh Exco Perpaduan, Perhubungan Masyarakat Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Ismail Othman di Kampung Air Hitam Darat, di Masjid Tanah pada Khamis.

Mohamad Shukri (kiri) menerima replika cek bayaran Faedah pengurusan Mayat yang disampaikan oleh Ismail di Kampung Air Hitam Darat, di Masjid Tanah, di sini, pada Khamis.
Mohamad Shukri (kiri) menerima replika cek bayaran Faedah pengurusan Mayat yang disampaikan oleh Ismail di Kampung Air Hitam Darat, di Masjid Tanah, di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Abd Razak Omar.

Bercerita lanjut, Mohamad Shukri berkata, isterinya tidak menunjuk sebarang perubahan pelik namun kerap kali mencium anak-anaknya termasuk sebelum bergerak ke Hospital Serdang.

"Dari pagi ke hospital, namun bila hampir malam baharu saya dimaklumkan anak selamat dilahirkan namun keadaan isteri tidak stabil sebelum disahkan meninggal dunia pada waktu petang.

"Saya reda dengan ujian ini dan bersyukur dipinjamkan seorang isteri yang baik dan tidak pernah menyakitkan hati malah ibu yang terbaik buat anak-anak kami," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Shukri mengharapkan agar pihak berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dapat mempercepatkan permohonan bantuan bagi membolehkan dia mengusahakan tanah kebun itu.

Pada penyampaian itu, Mohamad Shukri menerima wang Faedah Penakat berjumlah RM650 sebulan serta Faedah Pengurusan Jenazah berjumlah RM2,000.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!