[VIDEO] Tabah sara lapan anak, selepas kematian suami

Siti Suryati (empat,kiri) bersama anak-anaknya melihat gambar arwah suaminya yang meninggal dunia pada 19 Mei lalu.
Siti Suryati (empat,kiri) bersama anak-anaknya melihat gambar arwah suaminya yang meninggal dunia pada 19 Mei lalu.
A
A
A

MELAKA - Sembilan beranak termasuk enam yang masih bersekolah menjadi yatim sekelip mata selepas bapa mereka meninggal dunia pada minggu lalu akibat masalah jantung.

Pemergian Allahyarham Khairul Azlizam Mohamed@Mohamed Daud,41, meninggalkan seorang isteri Siti Suryati Sani, 41, dan enam anak berusia 15 tahun hingga 10 bulan.

Siti Suryati yang merupakan suri rumah berkata, kesihatan suaminya yang bekerja sebagai paramedik (offshore) mula terjejas pada Januari lalu akibat jantung tersumbat, hingga tidak mampu lagi bekerja seperti biasa.

Menurutnya, dalam tempoh empat bulan kehidupan mereka sekeluarga berubah, malah anak keduanya berusia 13 tahun yang sebelum ini belajar di sebuah pondok tahfiz terpaksa menangguhkan pengajian untuk membantu menjaga bapa mereka yang tidak sihat.

Katanya, dalam tempoh itu juga dia dan suami terpaksa berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut, namun tahap kesihatan arwah semakin menurun pada Mei ini sebelum disahkan meninggal dunia di hospital Melaka 19 Mei lalu.

"Pada 11 Mei, keadaan kaki arwah semakin membengkak dan risau dengan keadaan itu saya terpaksa meminta bantuan jemaah tabligh di surau berdekatan untuk menghantar suami ke hospital.

"Namun seminggu berada di hospital, keadaannya semakin lemah, dan ALLAH SWT ambil suami ketika kami berdua telah reda dengan ujianNya," katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Taman Sutera Wangi, Batu Berendam, di sini, pada Isnin.

Tambahnya, disebabkan arwah suami telah beberapa bulan tidak bekerja, mereka juga tidak mampu membayar tunggakan sewa rumah sebanyak RM400 sebulan, ditambah pula dengan perbelanjaan anak-anak yang bersekolah dan dua masih kecil.

Katanya, meskipun ALLAH SWT mengambil nyawa suaminya dalam keadaan singkat, dengan anak-anak yang masih memerlukan kasih sayang seorang bapa, namun yakin perancangan ALLAH SWT yang lebih indah dan terbaik.

"Masa arwah sakit, dia selalu kata, dia reda ALLAH nak ambilnya bila-bila masa dan minta saya supaya bersedia dan jaga anak-anak dengan baik.

"Saya juga reda dengan ujian ALLAH ini dan akan membesarkan anak-anak sehingga akhir hayat saya," katanya lagi.

Jelasnya, wang simpanan serta barang kemasnya juga telah digadai untuk menampung kos rawatan dan perbelanjaan keluarga beberapa bulan lalu.

Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh, Datuk Mohd Arif Yusa berkata, pihaknya simpati dengan nasib yang menimpa Siti Suryati sekeluarga setelah suami yang sebelum ini menjadi tulang belakangnya meninggal dunia.

Mohd Arif (kiri) ketika melawat keluarga Siti Suryati di Taman Sutera Wangi, Batu Berendam di sini, pada Isnin.
Mohd Arif (kiri) ketika melawat keluarga Siti Suryati di Taman Sutera Wangi, Batu Berendam di sini, pada Isnin.

Menurutnya, akan memberikan bantuan serta sokongan bagi memastikan bantuan daripada agensi berkaitan seperti Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) disegerakan untuk meringankan beban keluarga ini.

"Lawatan ini turut disertai pembantu kebajikan DUN Ayer Keroh.

"Kita berharap proses permohonan ini dipercepatkan untuk mereka meneruskan kelangsungan hidup lebih-lebih lagi anak yang masih bersekolah," katanya.

Mereka yang ingin menyalurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank 104068086569 atas penama Siti Suryati Sani.