Bawa usul pembukaan sektor di kawasan kes Covid-19 rendah

Osman (kanan) menyerahkan sumbangan kepada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang SPM di Kempas di sini pada Khamis.
Osman (kanan) menyerahkan sumbangan kepada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang SPM di Kempas di sini pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian akan membawa usul cadangan agar sektor ekonomi bagi kawasan merekodkan kes Covid-19 yang rendah di negeri ini dibenarkan beroperasi dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri ( DUN) pada 12 Ogos ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas berkata, usul tersebut perlu dibawa ke sidang DUN memandangkan ramai peniaga kecil yang mengeluh pendapatan mereka terjejas pada masa kini.

"Menerusi Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dilaksanakan secara berfasa pada ketika ini menyaksikan terdapat sektor yang tidak dapat beroperasi seperti kedai makan, restoran, pusat cuci kenderaan dan kedai gunting rambut.

"Langkah itu disifatkan tidak sesuai terutama di Johor kerana terdapat di kawasan yang merekodkan angka jangkitan Covid-19 yang rendah. Justeru sektor ekonomi kawasan terbabit sepatutnya dibenarkan beroperasi sepenuhnya dengan prosuder operasi standard yang ketat," katanya.

Beliau berkata demikikan ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM) 2020 bagi kawasan DUN Kempas di sini pada Khamis.

Sementara itu, Osman meminta kerajaan negeri agar melibatkan pihak berkuasa tempatan ( PBT) terutama Datuk Bandar dan Yang Dipertua terlibat dalam perbincangan yang diadakan berhubung kebenaran membuka sepenuhnya sektor ekonomi yang tidak terjejas teruk dengan Covid-19.

"Saya tekankan perkara ini kerana ia di bawah kuasa Majlis Bandaraya, Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah yang merupakan PBT kerana mereka sahaja yang boleh keluarkan kelulusan beroperasi di kawasan tidak terjejas teruk dengan Covid-19.

"Panggil Datuk Bandar dan Yang Dipertua Majlis libatkan mereka kerana mereka boleh memutuskan sama ada sektor ekonomi di sesuatu kawasan itu dibenarkan beroperasi sepenuhnya atau tidak ketika PPN ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Osman yang juga Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Ayer Hitam, mendakwa kerajaan negeri mempunyai kutipan hasil yang memberangsangkan namun tidak selama mampu bertahan sekiranya tiada langkah segera diambil bagi memulihkan sektor ekonomi.

" Kita kerajaan negeri memang banyak duit, tetapi kita perlu ingat, kalau asyik guna duit itu akan kurang. Saya percaya jika sektor ekonomi ini tidak diberi perhatian duit keluar boleh cecah berbilion ringgit hingga akhir ini," katanya.