Gesa PDRM siasat Takiyuddin, Idrus

Dr Zulqarnain Lukman
Dr Zulqarnain Lukman
A
A
A

SHAH ALAM - Biro Undang-Undang Parti Amanah Negara (Kanun) menyifatkan tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berhubung pembatalan Ordinan Darurat sebagai tidak berperlembagaan dan bertentangan dengan ikrar dan sumpah mereka sebelum memegang jawatan masing-masing.

Pengerusinya, Dr Zulqarnain Lukman berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh anggota kabinet hendaklah bertanggungjawab secara kolektif terhadap tindakan Takiyuddin seperti diperuntukkan dalam Per. 43 (3) Perlembagaan Persekutuan.

"Tiada tindakan lebih bermaruah untuk mereka melainkan meletakkan jawatan atas kegagalan Perdana Menteri dan seluruh kabinet mempertahankan Institusi Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Parlimen dan Perlembagaan.

"Kanun berpandangan bahawa tindakan ini juga adalah satu jenayah boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 121B Kanun Keseksaan, kesalahan terhadap kuasa Yang di-Pertuan Agong dan seksyen-seksyen yang berkaitan dengan aktiviti menjejaskan demokrasi iaitu Seksyen 124B, 124C, 124H dan 124I Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dalam satu kenyataan Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan di Parlimen Isnin lepas bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat walhal ia belum diperkenan oleh Seri Paduka Baginda.

Sehubungan itu, Kanun berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak secara profesional terhadap golongan kenamaan terbabit kerana rakyat mengharapkan supaya tiada tindakan ‘double standard’ dalam proses penguatkuasaan undang-undang.

Artikel Berkaitan: