Kelantan mohon tambahan vaksin Covid-19

IZANI HUSSIN
IZANI HUSSIN
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan telah membuat permohonan kepada kerajaan Persekutuan untuk penambahan bekalan vaksin Covid-19 bagi membantu melandaikan lagi kes jangkitan yang melonjak di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Hussin berkata, permohonan tersebut melibatkan penggunaan sehingga 30,000 dos sehari atau bersamaan dengan 1 juta dos sebulan.

"Hari ini (Khamis) kita buat permohonan kepada Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) supaya kita dapat menyelamatkan keadaan semasa dan bersesuaian dengan kemampuan kita untuk cucuk 33,000 dos vaksin sehari melibatkan kemudahan prasarana yang kita ada.

"Kita bermohon sangat supaya kerajaan dapat pertimbangkan perkara ini. Kita memahami rakyat tertekan dengan keadaan yang sudah lama begini tambahan pula mereka semua mahu sektor ekonomi dibuka secara berperingkat," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Beliau sebelum itu hadir ke Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Kelantan yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob.

Mengulas lanjut, Izani berkata, bekalan vaksin untuk masyarakat orang asli juga akan ditambah sebanyak 8,000 dos 'single'.

Sementara itu, dalam perkembangan yang sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, sehingga kini 11 Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) beroperasi dan tidak menolak kemungkinan berlaku pertambahan untuk jangka masa terdekat.

"Kita mungkin buka balik PKRC di Salor dan dengan angka yang ada ini, kita akan lebih kerap monitor jika berlaku pengurangan dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

"Untuk kapasiti unit rawatan rapi (ICU) pula kita telah guna hampir 60 hingga 70 peratus ketika ini. Oleh sebab itu langkah pengurangan jangkitan perlu diperhebatkan dari masa ke semasa," katanya.