X

Kindly register in order to view this article
!

KPM didesak dedah status 800 video pendidikan bernilai RM1.9 juta

Dr Maszlee Malik
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mendedahkan tentang status pembikinan 800 video pendidikan bernilai RM1.9 juta yang dijanjikan siap sepenuhnya pada 31 Mac lalu.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan dua timbalannya perlu memberi jawapan segera berhubung perkara itu kerana ia melibatkan dana pembayar cukai.

Menurutnya, 800 video pendidikan tersebut pada awalnya direncanakan untuk ditayangkan di saluran televisyen (TV) pendidikan.

Katanya, beliau telah membangkitkan tentang projek pembuatan video berkenaan yang diberikan KPM kepada Syarikat Radius One sewaktu perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat yang lalu di mana didapati syarikat tersebut gagal menyiapkannya dalam tempoh yang telah ditetapkan..

"Dalam jawapan beliau, Menteri Kanan Pendidikan telah menyatakan bahawa tarikh tamat projek itu dilanjutkan dari 30 November 2020 kepada 31 Mac 2021.

"Kini setelah hampir empat bulan berlalu, kita masih tidak tahu lagi apakah status kandungan 800 video tersebut sama ada sudah siap atau pun belum," katanya dalam sidang akhbar di sidang khas Dewan Rakyat pada Khamis.

Justeru itu, Maszlee berkata, beliau mewakili rakyat Malaysia menggesa KPM menjelaskan status pelaksanaan projek itu sama ada ia telah selesai sepertimana yang dijanjikan atau sebaliknya.

"Apakah semua 800 video tersebut mengikut kualiti spesifikasi dan durasi kandungan video yang ditetapkan oleh KPM kerana kita tahu ini bukan rancangan hiburan atau sukan tetapi pendidikan maka ia perlu mengikut kurikulum, silibus dan menepati kualiti yang sepatutnya diperlukan oleh kandungan pendidikan itu.

"Kita juga nak tahu berapakah video yang telah disiarkan. Kalau telah disiarkan ia ditayangkan di mana? Di Okay TV, di Didik TV atau di mana? Kita perlukan penjelasan.

"Adakah kandungan 800 video ini turut ditempatkan di portal milik KPM iaitu Portal Delima kerana mengikut carian saya, saya belum menemukannya lagi," katanya.

Beliau berkata, sekiranya video itu telah disiarkan bagaimana guru-guru dan murid-murid hendak menonton semula rancangan tersebut untuk diguna semasa proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) kerana kandungan pendidikan tidak seperti hiburan dan kerana boleh diulang tayang.

Tegas beliau lagi, kerajaan juga perlu mendedahkan berapa bayaran yang telah dibuat kepada syarikat penyedia kandungan tersebut adakah masih tetap dengan nilai RM1.9 juta atau mempunyai tambahan kerana tempoh pembuatannya dilanjutkan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!