X

Kindly register in order to view this article
!

Empat projek jalan luar bandar Kelantan dikeluarkan SST awal

MOHD SUHAILI ISMAIL
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan mengeluarkan Surat Setuju Terima (SST) lebih awal bagi memastikan kesemua projek peningkatan infrastruktur jaringan jalan di kawasan luar bandar di negeri tidak terlibat dengan sekatan peruntukan kesan pandemik Covid-19.

Pengarah JKR Kelantan, Ir Mohd Suhaili Ismail berkata, setakat ini empat projek dengan kos RM183.5 juta sudah pun dikeluarkan SST dengan Tarikh Milik Tapak juga dilanjutkan pada tahun 2021.

Katanya, keseluruhannya terdapat 10 projek dengan kos perbelanjaan berjumlah RM297 juta yang diluluskan untuk dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dan RMK-12.

“Projek yang sudah dikeluarkan SST ialah pertama, projek bina jalan dari Kampung Joh ke Kampung Belimbing Tanah Merah dengan kos RM 60 juta dan kedua, projek bina jalan dan jambatan antara Kampung Pasir Era ke Kampung Pasir Kelang, Kuala Krai ( RM40 juta).

“Ketiga, projek naik taraf jalan menghubungkan Kampung Manek Urai ke jalan utama FT008 (Kuala Krai ke Gua Musang), Kuala Krai (RM15 juta) serta keempat, projek membina jalan dan jambatan dari Kampung Pantai Senok ke Kampung Pulau Gajah, Bachok (RM68.5 juta),” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Khamis.

Mengulas lanjut, enam lagi bilangan projek masih dalam tindakan JKR pada peringkat perancangan dan reka bentuk.

“Projek selebihnya dengan kos berjumlah RM113 juta itu belum dikeluarkan SST.

“JKR komited untuk memastikan kesemua projek tersebut dikeluarkan SST pada tahun ini atau selewat-lewatnya pada suku pertama tahun 2022,” katanya.

Tambah beliau, turut menjadi komitmen kerajaan adalah peningkatan infrastruktur jalan perhubungan utama negeri dengan memastikan Lebuhraya Centre Spine Road (CSR) yang menghubungkan Kelantan ke Kuala Lumpur melalui negeri Pahang dapat dilaksanakan di bawah RMK-12.

“Pembinaan Lebuhraya CSR bermula dari sempadan Pahang di Merapoh hingga ke Kuala Krai dan disusuli dengan Lebuhraya Kota Bharu- Kuala Krai yang melibatkan jajaran jalan sejauh 204 kilometer (Kota Bharu – Kuala Krai sejauh 71 kilometer dan CSR – 133 kilometer)

“Status pelaksanaan Lebuhraya CSR, tiga pakej sudah bermula iaitu dari sempadan Pahang ke Paloh, Gua Musang manakala lainnya dalam peringkat perolehan dan dijangka dikeluarkan SST pada Januari 2022 yang melibatkan empat pakej utama,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!