Sidang Dewan Rakyat tidak dilanjutkan selepas 5.30 petang

Mesyuarat Khas Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini.
 Foto Bernama
Mesyuarat Khas Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini.
 Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan memutuskan bahawa masa sidang Dewan Rakyat tidak akan dilanjutkan selepas jam 5.30 petang.

Jelas beliau, perkara itu diputuskan berdasarkan pandangan pakar, bukannya pandangan politik.

"Pada hari pertama Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun (Speaker) telah panggil mesyuarat khas juga melibatkan wakil pembangkang, turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan telah diberi dua cadangan.

"Pertama, persidangan ini tidak boleh diteruskan kerana dalam kes biasa, jika 77 orang sudah dijangkiti di sesuatu tempat, perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan.

"Pilihan kedua, adalah had bilangan ahli Parlimen pada satu-satu masa atau hadkan masa. Ahli-ahli parlimen (pembangkang) sepatutnya memberitahu semula kepada Speaker untuk persetujuan tentang sampai pukul berapa (Parlimen Bersidang). Tetapi sehingga hari ke empat ini tiada yang datang.

"Jadi saya sendiri telah bertemu Speaker pada esoknya. Saya telah dapat mandat daripada Ketua Majlis, jadi saya tidak akan benarkan lanjutan persidangan ini dari 5.30 atau 5.45 petang," katanya pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 pada Khamis.

Isu penambahan tempoh hari atau masa persidangan sebelum itu telah dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) yang memohon pertimbangan Speaker dan Menteri Undang-Undang agar lebih ramai ahli Parlimen dapat mengambil bahagian dalam perbincangan.

"Jika dapat tambah hari, tidak semestinya perlu bersidang dari jam 10 pagi hingga 5.30 petang,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Azhar kemudiannya menjelaskan beliau terikat kepada Peraturan 12(1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat untuk persidangan hanya sehingga 5.30 petang dan perbincangan perlu dibuat dengan Menteri Undang-Undang.

"Saya ada budi bicara untuk tambah 15 minit sahaja," katanya.