X

Kindly register in order to view this article
!

Petugas kesihatan wujudkan 'food bank' bantu golongan terkesan

Dr Surender Benedict (kanan) bersama petugas Klinik Kesihatan Bandar Pekan di hadapan rak ' food bank' yang disediakan di klinik itu sejak dua minggu lalu.
A
A

PEKAN - Di sebalik kesibukan sebagai barisan hadapan merawat pesakit saban hari, petugas Klinik Kesihatan Bandar Pekan di sini masih mampu meluangkan masa menggerakkan usaha membantu golongan yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Mereka mengambil inisiatif mewujudkan 'food bank' di klinik kesihatan itu untuk membantu golongan memerlukan termasuk dalam kalangan pesakit yang datang mendapatkan rawatan.

Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Bandar Pekan, Dr Surender Benedict berkata, 'food bank' itu diwujudkan atas inisiatif Kelab Kebajikan, Sukan dan Rekreasi Klinik Kesihatan Bandar Pekan sejak dua minggu lalu.

Menurutnya, usaha itu diwujudkan bertitik tolak daripada keluhan pesakit yang mengadu berdepan masalah ekonomi ekoran Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan dalam mengekang pandemik Covid-19.

"Ada juga yang datang untuk saringan Covid-19 mengadu tidak dapat bekerja sepanjang tempoh kuarantin dan sebagainya.

"Kami dapati ramai yang terdesak dan memerlukan bantuan jadi kami ambil inisiatif mewujudkan 'food bank' ini bagi membantu mereka," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Dr Surender Benedict berkata, melalui 'food bank' yang menyediakan pelbagai bekalan makanan kering itu, pesakit yang datang janji temu untuk pemeriksaan dan rawatan boleh mengambil keperluan makanan yang disediakan sekiranya memerlukan.

"Ia juga terbuka kepada penduduk sekitar yang memerlukan. Mereka boleh mengambilnya sekadar perlu tanpa perlu memaklumkan kepada pihak klinik.

"Ambil sekadar perlu, kongsi jika mampu, itu yang kami tekankan supaya lebih ramai dapat dibantu dan tampil membantu," katanya.

Beliau berkata, setakat ini sambutan amat baik dan ramai yang telah mendapat manfaat daripada 'food bank' yang diwujudkan itu.

"Pada masa sama, kami juga mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk individu dan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang tampil menyumbang kepada projek 'food bank' ini.

"Sekiranya sokongan daripada penyumbang berterusan, projek ini akan terus dilaksanakan supaya lebih ramai yang dapat dibantu," katanya.

Tambahnya, orang ramai dialu-alukan untuk sama-sama menyumbang kepada projek itu.

"Sumbangan makanan boleh dihantar terus ke rak yang disediakan manakala bagi sumbangan wang boleh disalurkan ke akaun Bank Rakyat 1101679716 (Kelab Kebajikan Sukan dan Rekreasi)," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!