Kelantan peruntuk RM1.4 juta bantu penduduk di kawasan PKPD

Mumtaz (tengah) bersama Said (kanan) dan Tuan Saripuddin (kiri) memeriksa sumbangan bakul makanan di PKD Selising, Pasir Puteh pada Rabu.
Mumtaz (tengah) bersama Said (kanan) dan Tuan Saripuddin (kiri) memeriksa sumbangan bakul makanan di PKD Selising, Pasir Puteh pada Rabu.
A
A
A

PASIR PUTEH - Kerajaan Kelantan memperuntukkan sebanyak RM1.4 juta bagi membantu penduduk di negeri ini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Exco Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Datuk Mumtaz Md Nawi berkata, peruntukan itu merupakan hasil sumbangan orang ramai yang disalurkan menerusi Tabung Serambi Makkah.

"Sepanjang PKPD dikuatkuasakan di negeri ini, seramai 14,000 penerima yang merupakan ketua keluarga telah mendapat manfaat menerusi tabung berkenaan," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan bakul makanan di Pusat Khidmat DUN (PKD) Selising di sini pada Rabu.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising, Tuan Saripuddin Tuan Ismail dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Said Sidup.

Mumtaz berkata, setiap keluarga menerima sumbangan sebanyak RM100 dalam bentuk makanan termasuk beras.

"Sumbangan ini merupakan bentuk sokongan moral kerajaan negeri kepada penduduk terlibat untuk melawan pandemik Covid-19," katanya.

Sementara itu, Mumtaz berkata, pihaknya berharap penduduk di kawasan PKPD terus kekal patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan.

Beliau turut mengingatkan penduduk di kawasan yang belum berdepan penguatkuasaan PKPD supaya sentiasa berwaspada.

Artikel Berkaitan: