Kerajaan Negeri Sembilan perlu hentikan pertikaian mengenai kedudukan Tuanku Muhriz

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan tidak seharusnya meneruskan sebarang langkah politik atau pentadbiran yang bertujuan mempertikaikan kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Majlis Pimpinan Negeri Pakatan Harapan Negeri Sembilan (MPNPHNS) dalam kenyataannya berkata, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) telah memaklumkan bahawa Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Yang di-Pertua DKU, pada 17 September lalu.
"Jabatan Peguam Negara (AGC) pula menyatakan Menteri Besar dan Exco tidak mempunyai kuasa unilateral untuk menentukan penamatan atau pengosongan jawatan Yang di-Pertuan Besar dan pertikaian tersebut perlu diselesaikan melalui proses perlembagaan dan undang-undang yang sah.
"Dalam keadaan ini, MPNPHNS berpandangan jalan yang lebih bertanggungjawab ialah menghentikan pertelingkahan yang berpanjangan, menghormati proses perlembagaan dan mengembalikan tumpuan kerajaan kepada pentadbiran negeri," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Justeru, MPNPHNS menyeru menteri besar supaya mengambil pendekatan yang dapat meredakan kemelut berlaku melalui saluran institusi yang tersedia.
Menurutnya, dalam tradisi pemerintahan Negeri Sembilan, hubungan antara kerajaan negeri, Yang di-Pertuan Besar dan institusi adat perlu diurus dengan penuh tertib serta menghormati kedudukan masing-masing.
"MPNPHNS berpandangan menteri besar wajar memohon sembah menghadap ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz dan mencari penyelesaian melalui proses perlembagaan yang betul.
"Ini bukan soal siapa menang atau siapa kalah dalam persaingan politik tetapi lebih penting ialah mengembalikan ketenteraman kepada pentadbiran negeri dan memastikan rakyat tidak terus menanggung akibat daripada pertikaian yang berpanjangan,"katanya.
Selain itu kata kenyataan terbabit, sepatutnya fokus kerajaan negeri sekarang ialah menyelesaikan kedudukan pentadbiran dan memastikan jentera kerajaan dapat kembali berfungsi secara teratur.
Pada masa sama ujarnya, pertikaian mengenai kedudukan Tuanku Muhriz perlu dihentikan dan Menteri Besar perlu mengemukakan barisan Exco yang baharu.
"Berhenti memanjangkan pertikaian mengenai kedudukan Tuanku Muhriz. Hormati proses perlembagaan dan sembah menghadap.
"Kembalikan kestabilan pentadbiran dan bekerjalah untuk rakyat Negeri Sembilan," katanya.
Selain itu, kata MPNPHNS, kerajaan negeri perlu menjelaskan kepada rakyat apakah penyelesaian yang mahu ditawarkan bagi menyelesaikan krisis berlaku.
Jelasnya, perubahan kerajaan sepatutnya membawa kepada kestabilan dan jika sebaliknya berlaku, rakyat berhak menuntut penjelasan.
"Pilihan raya telah selesai, kerajaan negeri telah dibentuk. Maka sudah tiba masanya seluruh perhatian diberikan kepada persoalan yang benar-benar menyentuh kehidupan rakyat.
"Sebaliknya, perkembangan sejak beberapa minggu kebelakangan ini menunjukkan perhatian politik negeri terus tertumpu kepada pertikaian mengenai kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan," katanya.
Tambahnya, mandat rakyat bukan alasan untuk memanjangkan pertelingkahan politik atau mengabaikan proses yang ditetapkan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Menurutnya lagi, rakyat memberikan mandat untuk sebuah kerajaan mentadbir, bukan untuk negeri terus terperangkap dalam kemelut institusi.
"MPNPHNS berpandangan perkara ini tidak seharusnya terus menjadi agenda politik kerajaan negeri," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

