Pertimbang desakan wajib suntikan vaksin

Rashidah Ramli
Rashidah Ramli
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Kesihatan diharap dapat mempertimbangkan desakan untuk mewajibkan suntikan vaksin imunisasi kepada kanak-kanak di negara ini.

ADUN Parit Raja, Rashidah Ramli yang menyokong desakan untuk mewajibkan suntikan vaksin agar jumlah penularan penyakit dan kematian kanak-kanak di Malaysia, dapat dikurangkan.

Menurutnya, jumlah kematian kanak-kanak disyaki akibat penularan penyakit berjangkit pastinya akan meningkat.

"Kebangkitan golongan-golongan antivaksin yang banyak mempengaruhi ibu bapa terutama ibu-ibu muda dengan maklumat tidak sahih mengenai keburukan vaksin imunisasi.

"Medium utama untuk menyebarkan maklumat palsu ini adalah melalui media sosial, mereka mudah percaya dengan apa yang disampaikan oleh golongan tersebut," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, kebanyakan ibu bapa ini tidak mendapatkan penerangan daripada pakar-pakar perubatan yang sudah semestinya lebih tahu mengenai kelebihan dan fungsi-fungsi vaksin imunisasi.

Rashidah juga menyokong kenyataan Presiden Persatuan Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail agar suntikan vaksin imunisasi diwajibkan kepada semua kanak-kanak sebelum menempuh alam persekolahan.

"Pengambilan vaksin ini dapat mencegah anak-anak mereka daripada penyakit seperti difteria, polio, demam campak, begok dan rubella.

Artikel Berkaitan:

"Banyak manfaat yang boleh diperolehi jika ibu bapa mengambil kira kepentingan vaksin imunisasi ini demi masa depan anak-anak mereka," katanya.

Beliau turut berpendapat tidak adil bagi ibu bapa yang berpegangan antivaksin untuk tidak membenarkan anak mereka menerima vaksin.

"Walhal dahulu mereka juga menerima vaksin ketika kecil.

"Bukan sahaja mereka memudaratkan anak-anak mereka, malah komuniti sekeliling juga berpotensi untuk dijangkiti penyakit melalui tindakan mereka," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kaji cadangan wajib suntikan vaksin imunisasi

Rashidah berkata, usaha-usaha kesedaran peri pentingnya pengambilan suntikan vaksin perlu diketengahkan semula oleh pelbagai pihak terutamanya Kementerian Kesihatan.

"Sudah tiba masanya untuk mempertimbangkan tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap ibu bapa yang tidak mahu membenarkan suntikan vaksin kepada anak mereka," katanya.

Beliau turut mencadangkan agar Pakar Sakit Puan di Johor dapat memberikan penerangan yang menyeluruh kepada ibu bapa muda semasa mendapatkan rawatan tentang kebaikan vaksin yang bakal disuntik kepada bayi-bayi yang lahir di Malaysia ini.

"Ini boleh dilakukan dengan penganjuran kelas-kelas penerangan mahupun ceramah di pusat-pusat komuniti dengan kerjasama pelbagai NGO dalam negeri.

"Maka di sinilah kerajaan negeri harus memainkan peranan yang lebih proaktif dan bukan setakat melepaskan batuk di tangga untuk bersama menyelesaikan permasalahan ini," katanya.

Selain itu, katanya, pencegahan awal juga dapat dilakukan melalui penyebaran maklumat melalui pengamal media sosial.

"Jika golongan antivaksin mampu mempengaruhi pemikiran ibu-ibu muda, mereka (pengamal media sosial) ini juga mampu menyebarkan ilmu yang betul mengenai vaksin melalui platform sebegini," katanya.