Kerusi Ku Li pindah ke blok Bebas

Tengku Razaleigh pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Tengku Razaleigh pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerusi Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dalam sidang khas Dewan Rakyat dipindahkan ke blok Bebas pada Rabu.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Speaker, Datuk Mohd Rashid Hasnon dan keputusan untuk memindahkan kerusi Tengku Razaleigh atau Ku Li itu dibuat Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun seperti dimohon oleh veteran UMNO berkenaan.

"Ketika saya dalam persiapan untuk pengerusikan (Sidang Khas Dewan Rakyat) jam 10 pagi tadi, mendapat makluman mengatakan Speaker (Azhar Azizan) terima permohonan untuk beliau (Ku Li) masuk blok Bebas.

"Ia menggunakan peruntukan peraturan mesyuarat 2 yang mengatakan Speaker boleh untuk ubah kedudukan kerusi (ahli Parlimen) di Dewan Rakyat," katanya pada sidang akhbarnya di Bilik Media Parlimen pada Rabu.

Mohd Rashid berkata, Speaker Dewan Rakyat mempunyai kuasa untuk menetapkan atau mengubah kerusi setiap Yang Berhormat atas alasan munasabah.

"Jadi, sebab itu kerusi beliau (Ku Li) diubah dalam kumpulan Bebas," katanya.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan Ku Li meminta kerusi tempat duduk beliau dalam sidang khas Dewan Rakyat di blok kerajaan dipindahkan kerana tidak mahu dianggap menyokong 'kerajaan gagal'.

Pertukaran tempat duduk itu dimohon beliau menerusi sepucuk surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun bertarikh 26 Julai 2021.

Artikel Berkaitan:

Menerusi surat itu, Ku Li berkata, tidak mahu terus berada di kerusi disediakan untuk beliau bersama ahli Dewan Rakyat kerajaan seolah-olah menjadi penyokong kerajaan yang ada.