Negeri Sembilan sasar capai 700,000 vaksinasi menjelang 31 Ogos

Aminuddin (kanan) ketika melawat PPV di UiTM Rembau pada Selasa.
Aminuddin (kanan) ketika melawat PPV di UiTM Rembau pada Selasa.
A
A
A

REMBAU- Kerajaan Negeri Sembilan menyasarkan untuk mencapai seramai 700,000 orang lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 menjelang 31 Ogos depan.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, setakat ini seramai 823,368 penduduk di negeri ini yang berumur 18 tahun ke atas telah membuat pendaftaran vaksinasi.

"Berdasarkan rekod, seramai 533,674 orang iaitu 65.53 peratus telah mendapat dos pertama, manakala 207,612 orang iaitu 25.49 peratus selesai melengkapkan dua dos vaksin.

"Insya-ALLAH menjelang 31 Ogos ini kita akan mencapai 700,000 orang yang berumur 18 tahun ke atas lengkap menerima dua dos vaksin masing-masing.

"Kita berharap ini akan memberi sedikit kekuatan untuk kita khususnya di Negeri Sembilan dalam usaha membentuk imuniti kelompok agar rakyat mempunyai daya tahan yang tinggi ke arah mengelakkan penularan wabak Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Biduanda, UiTM cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau pada Selasa.

Dalam perkembangan berlainan, Aminuddin berkata, setakat ini tiada laporan berhubung kes suntikan tanpa vaksin di negeri ini.

"Tiada aduan berhubung perkara tersebut di negeri ini dan ini menunjukkan amanah yang cukup baik diberikan oleh petugas barisan hadapan dalam memastikan rakyat di negeri ini menerima vaksin masing-masing," katanya.

Artikel Berkaitan: