Tempat kuarantin khas percuma untuk penduduk PPR, PA

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menyediakan tempat khas kepada penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menjalani kuarantin kendiri.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, langkah itu diputuskan setelah berbincang dengan pelbagai agensi berkaitan ketika mesyuarat Pengurusan Covid-19 Wilayah Persekutuan (CCMC-WP).

Menurutnya, pesakit Covid-19 di PA dan PPR sebelum ini menghadapi masalah menjalani kuarantin kendiri di rumah disebabkan mendiami kediaman sempit.

"Pesakit Covid-19 kategori satu dan dua itu juga didapati tidak mampu untuk ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah Swasta (PKRCS) berbayar.

"Justeru CCMC-WP memutuskan untuk memindahkan dan menempatkan sebilangan mereka yang positif ini ke beberapa hotel yang dikhususkan sebagai PKRCS khas bagi mengelakkan jangkitan dalam kalangan keluarga," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Katanya, sebanyak empat PKRCS khas di Kuala Lumpur disediakan iaitu Hotel Royal Chulan, Jalan Conlay; International Youth Center, Bandar Tun Razak, Cheras; Hotel Tamu Kampong Bharu dan Hotel Travelodge City Centre.

Beliau berkata, operasi memindahkan kira-kira 1,000 orang pesakit Covid-19 itu bermula pada Isnin dengan kerjasama Pengurusan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC), KWP, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKWPKL) dan beberapa agensi berkaitan.

"Kementerian juga sedang berusaha untuk menyediakan lebih banyak kemudahan pusat rawatan Covid-19 di Wilayah Persekutuan bagi membantu golongan yang menghadapi masalah kuarantin kendiri.

Artikel Berkaitan:

" Tindakan ini dapat membantu golongan yang tidak berkemampuan untuk mengelakkan peningkatan kes positif yang berpunca daripada kontak rapat dalam kalangan ahli keluarga," katanya.

Pada 16 Julai lalu, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad mencadangkan KWP menyediakan tempat kuarantin khas buat penduduk PPR yang menjalani kuarantin di rumah untuk mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 kepada isi rumah.

Cadangan itu dikemukakan kepada Annuar menerusi mesyuarat secara dalam talian bersama Ahli-Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan.