Lizzy tak percaya mistik tapi...

 Elizabeth Tan
Elizabeth Tan
A
A
A

PENYANYI yang kini semakin mendapat tempat di arena lakonan, Elizabeth Tan mengakui dia sebenarnya kurang mempercayai perkara-perkara mistik, melainkan telah berlaku kepada dirinya.

Ceritanya, ketika penggambaran Misteri Dilaila berlangsung di Bukit Fraser, ada kru produksi memberitahu terakamkan suara perempuan di set penggambaran, bagaimanapun tiada sesiapa di situ ketika kejadian berlaku.

"Sepanjang penggambaran, saya tak ada melalui apa-apa kejadian pelik atau pun diganggu. Cuma kru produksi ada beritahu mereka terakam suara perempuan, tetapi tidak jelas kerana suara itu seakan berbisik dan dalam masa sama, tiada sesiapa pada ketika itu.

"Bagaimanapun saya tak lah rasa takut ke apa bila tahu. Sejujurnya saya tak berapa percaya sangat dengan perkara mistik. Ada juga terfikir, benda tu kacau dia nak apa sebenarnya," katanya dalam satu temu bual baru-baru ini.

Walaupun tidak terlalu mempercayai perkara mistik, penyanyi yang kini terkenal dengan lagu Semua Sudah mengakui dia tidak menyukai menonton filem seram kerana lebih mudah mengingati visual dan akan terbayang-bayang selepas menonton.

"Masa tengok Misteri Dilaila saya banyak tutup mata. Saya tak berapa suka menonton filem seram, sebab nanti saya akan terbayang-bayang.

"Tapi kalau dengar bunyi sahaja, saya tak ada masalah," jelasnya.

Selain Elizabeth, filem arahan Syafiq Yusof ini turut dibintangi Zul, Sasqia Dahuri, Datuk Rosyam Nor, Namron dan Mas Khan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Elizabeth mengakui dia sudah semakin seronok berlakon, namun dalam masa yang sama, tidak akan meninggalkan karier nyanyiannya.

"Sebenarnya selepas habis sekolah, saya memang berminat menyambung pengajian dalam seni lakon, tapi mak saya tak benarkan.

"Jadi bila dapat peluang macam ini, rasa seronok sangat. Tapi masih banyak mengenai lakonan yang perlu saya belajar dan betulkan.

"Dalam masa sama, saya tidak akan tinggalkan karier nyanyian saya dan pihak pengurusan juga mahu saya mengeluarkan album tahun ini," katanya yang mengutip banyak pengalaman sepanjang berlakon di bawah arahan Syafiq.