RM254,617 faedah SKSSR telah dibayar kepada suri rumah

Sivakumar (dua kiri) ketika menyampaikan faedah hilang upaya kekal kepada Chandran (tiga kiri).
Sivakumar (dua kiri) ketika menyampaikan faedah hilang upaya kekal kepada Chandran (tiga kiri).
A
A
A

SEREMBAN - Sebanyak RM254,617 faedah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) telah dibayar kepada suri rumah berinsurans dan keluarga mereka sejak skim itu dilaksanakan pada Disember tahun lalu sehingga 15 Jun lepas.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, setakat ini seramai 177,858 suri rumah telah dilindungi di bawah skim tersebut.

"Saya menyeru golongan suri rumah untuk mendaftar dan mencarum di bawah SKSSR demi perlindungan terhadap bencana domestik, keilatan atau kematian sewaktu menguruskan rumah tangga.

"Kita tidak dapat menduga keadaan yang tidak diingini menimpa kita. Suami juga digalakkan agar membayar caruman SKSSR sebanyak RM120 setahun untuk isteri masing-masing sebagai menghargai peranan dan pengorbanan mereka dalam keluarga," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan faedah kepada dua orang berinsurans Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) R Chandran, 40 dan Leong Tai Hee, 49 di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru pihak ketiga seperti badan-badan pertubuhan buka kerajaan (NGO) dan syarikat swasta supaya menaja caruman SKSSR untuk mana-mana suri rumah demi kebajikan mereka, sebagai langkah tanggungjawab sosial korporat.

Sementara itu, mengulas mengenai faedah orang berinsurans Perkeso, Sivakumar berkata, kedua-dua pekerja ini dilindungi Perkeso di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan mengikuti program pemulihan Return to Work Perkeso.

"Chandran mengalami kemalangan ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja dan awalnya dia mendapat bayaran Faedah Hilang Upaya Sementara sebanyak RM2,045.78.

"Kesnya kemudiannya dirujuk kepada Jemaah Doktor bagi menentukan Faedah Hilang Upaya Kekal dan berdasarkan taksiran, dia menerima bayaran faedah berjumlah RM14,291.62.

"Tai Hee pula disahkan menghidap keilatan dan layak menerima Pencen Ilat sebanyak RM2,757.8 sebulan. Dia sebelum ini bekerja sehingga sehingga April lepas apabila mengalami angin ahmar," katanya.