Klopp tak percaya Salah tinggalkan Liverpool

Mohamed Salah -Foto: EPA
Mohamed Salah -Foto: EPA
A
A
A

JURGEN Klopp optimis pemain sensasi mereka, Mohamed Salah akan kekal bersama Liverpool biarpun The Reds gagal beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara musim depan.

Penyerang Mesir itu menerusi catatan di media sosial meluahkan rasa kecewa selepas Manchester United menewaskan Chelsea 4-1 menyebabkan Liverpool terpaksa beraksi dalam Liga Europa musim depan.

Pemain berusia 30 tahun itu mengatakan hatinya remuk dan sama sekali merasakan Liverpool tidak sepatutnya terlepas kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL).

Salah pada musim panas lalu menandatangani kontrak baharu yang menjadikannya pemain yang menerima bayaran tertinggi dalam sejarah kelab itu.

Mengulas kebimbangan tentang masa depan Salah selepas kenyataan yang jarang berlaku itu, Klopp tidak berasa khuatir, malah memberitahu pemain itu gembira berada di Anfield.

“Jangan risau, tidak. Saya hanya mendengar apa yang dia katakan tetapi saya tidak mengesan sebarang perkara yang boleh menjurus ke arah itu.

"Mo (Salah) gembira berada di sini dan Mo adalah sebahagian daripadanya.

Malah Klopp turut menjelaskan mengenai permohonan maaf yang dibuat oleh Salah.

"Dia meminta maaf atas pencapaian 'kami' - bukan meminta maaf atas tindakan orang lain. Semuanya baik-baik saja.

“Jika ada pemain yang datang kepada saya dan mahu pergi kerana terlepas Liga Juara-Juara, maka saya sendiri akan membawanya ke kelab lain.

"Saya akan mengambil kunci dan berkata 'masuk kereta, ke mana awak nak pergi, saya bawa awak'," katanya.