PPV Pikas Sendayan dibuka semula

Dr Mohammad Rafie (tengah) semasa melawat PPV PIKAS Sendayan.
Dr Mohammad Rafie (tengah) semasa melawat PPV PIKAS Sendayan.
A
A
A

SEREMBAN - Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Program Imunisasi Industri Covid-19 Awam-Swasta (PIKAS) d'Tempat Country Club, Sendayan yang dihentikan sementara pada 20 Julai lalu, telah beroperasi semula sepenuhnya pada Isnin.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, sepanjang tempoh 5 Julai sehingga 19 Julai lalu, PPV PIKAS ini berjaya memberi suntikan sebanyak 19,670 dos kepada pekerja-pekerja industri di Negeri Sembilan.

"Tempoh tutup operasi selama enam hari iaitu bermula cuti Hari Raya Aidil Adha pada 20 Julai sehingga semalam (Ahad), adalah untuk memberi ruang pengstrukturan semula bagi memastikan kecekapan operasi di PPV PIKAS d'Tempat Country Club, Sendayan.

"Bermula hari ini, kita menyasarkan sebanyak 2,000 dos suntikan sehari berbanding 1,500 dos sebelum ini di PPV PIKAS Sendayan.

"Sebanyak 40,000 dos vaksin diperuntukkan sebagai tambahan daripada 19,670 dos vaksin yang telah diberi sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambahnya, PPV PIKAS D'Cattleya, Senawang dijangka beroperasi pada 2 Ogos ini, dengan sasaran 1,500 dos suntikan sehari.

Katanya, dijangkan dengan keupayaan 3,500 dos suntikan sehari bermula awal Ogos ini untuk kedua- dua PPV PIKAS di Negeri Sembilan, keseluruhan pekerja industri di Negeri Sembilan akan dapat divaksinkan sepenuhnya menjelang pertengahan September 2021.

"Usaha menyegerakan pemvaksinan pekerja-pekerja industri adalah penting untuk kita mengerakkan semula sektor perindustrian bagi merangsang semula ekonomi negara," katanya.

Artikel Berkaitan: